SUKAN

MPL MY Umum Lapan Pasukan Utama Di Bawah Kerjasama Jangka Panjang

24/02/2026 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Satu lembaran baharu dalam arena e-sukan Malaysia bermula apabila lapan pasukan dipilih untuk menerajui Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Liga Profesional Malaysia (MPL MY) di bawah program kerjasama jangka panjang yang baharu dilancarkan.

Pasukan-pasukan itu ialah juara bertahan Selangor Red Giants (SRG), Team Vamos (VMS), Team Rey (TR), Rex Regum Qeon (RRQ), Bigetron MY by VIT (BTRM), All Combo (AC), Invictus Gaming (iG) dan Team Flash (TF).

Ketua Pembangunan Perniagaan untuk Esports Malaysia di Moonton Games Krystal Tan berkata program itu mencerminkan komitmen jangka panjang untuk membentuk semula liga merangkumi semua peringkat termasuk pasukan, pemain, rakan kongsi, jenama dan peminat.

“MPL Malaysia telah berkembang menjadi liga e-sukan terbesar dan paling lama berlangsung di negara ini. Program kerjasama baharu ini bukan inisiatif sementara, sebaliknya satu komitmen jangka panjang untuk meningkatkan liga dan e-sukan Malaysia secara keseluruhan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tan berkata lapan pasukan itu dipilih menerusi proses yang teliti dengan masa depan e-sukan Malaysia sebagai keutamaan, menampilkan gabungan organisasi tempatan dan antarabangsa bagi memperkukuh persaingan serta meletakkan Malaysia dalam peta e-sukan global.

Beliau berkata kerjasama itu akan berlangsung selama empat tahun dengan penilaian dijalankan setiap tahun bagi mengekalkan piawaian liga.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata program kerjasama itu satu perkembangan baharu bagi MPL, yang membawa penambahbaikan, khususnya kepada pasukan tempatan melalui penyertaan kedua-dua pasukan domestik dan antarabangsa.

“Ini memberi satu keseimbangan dan impak kepada atlet sendiri, atlet mendapat lebih pengalaman dan ilmu daripada pasukan-pasukan besar luar negara yang akan terlibat dalam MPL kali ini,” katanya.

Untuk rekod, SRG, Team Vamos dan Team Rey adalah tiga wakil Malaysia yang dikekalkan daripada MPL MY Musim 16 pada tahun lepas manakala RRQ dan Bigetron MY by VIT dari Indonesia, Invictus Gaming (iG) dan All Combo dari China serta Team Flash dari Singapura.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan