DUNIA

Anak Lelaki Robert Mugabe Didakwa Cuba Membunuh Di Afrika Selatan

24/02/2026 09:14 AM

JOHANNESBURG, 24 Feb (Bernama-dpa) -- Anak lelaki bongsu kepada bekas pemimpin  Zimbabwe, Robert Mugabe, didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh di Afrika Selatan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bellarmine Mugabe hadir pada pagi Isnin bersama seorang lagi defendan di hadapan Mahkamah Majistret Alexandra di hab ekonomi Johannesburg.

Mugabe mengesahkan identiti dan namanya namun tidak memberikan sebarang ulasan mengenai pertuduhan dikenakan.

Mugabe, yang menurut polis berusia 28 tahun, ditahan pada Khamis di kediamannya di pinggir bandar eksklusif Hyde Park, Johannesburg, selepas  seorang daripada pekerjanya mengalami dua kesan tembakan.

Menurut pihak polis, mangsa kini berada dalam keadaan kritikal.

Polis memaklumkan bahawa kelongsong peluru ditemukan di tempat kejadian, namun tiada senjata api dijumpai.

Mugabe dan rakan defendannya turut didakwa atas pertuduhan menghalang keadilan serta pemilikan senjata api secara haram.

Peguam Mugabe telah memohon ikat jamin pada Isnin, dan mahkamah dijadualkan mengumumkan keputusan permohonan itu pada 3 Mac.

Sementara itu, siasatan lanjut akan diteruskan dan kedua-dua defendan akan terus berada dalam tahanan.

Robert Mugabe yang lama memerintah Zimbabwe, mentadbir negara yang bersempadan dengan Afrika Selatan itu dari 1980 sehingga digulingkan oleh pihak tentera pada 2017.

Pemimpin kontroversi, yang berubah daripada seorang pejuang kebebasan dan ikon harapan global kepada pemerintah autoritarian  sepanjang hampir empat dekad berkuasa, meninggal dunia dua tahun kemudian.

--BERNAMA-dpa 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan