JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Rusuhan Di Bukit Sentosa: Polis Tahan Enam Lelaki, Tiada Kaitan Gangsterisme

23/02/2026 10:08 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Enam lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes rusuhan membabitkan sekumpulan individu di sebuah taman perumahan di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata tangkapan ke atas kesemua suspek berusia lingkungan 18 hingga 49 tahun itu dilakukan atas maklumat yang diterima selepas pihak polis menerima dua laporan berasingan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada ketidakpuasan hati serta perselisihan faham melibatkan dua keluarga.

"Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Polis menegaskan bahawa insiden ini adalah berkaitan perselisihan faham peribadi dan sama sekali tidak melibatkan unsur gangsterisme mahupun isu perkauman," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shazeli berkata pihaknya mengesan satu rakaman video berhubung kejadian itu yang dimuat naik di laman sosial pada 4.30 petang tadi memaparkan insiden pergaduhan dan rusuhan sekumpulan individu di kawasan perumahan tersebut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang serta mengelakkan daripada menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Pihak polis akan mengambil tindakan tegas berlandaskan lunas perundangan terhadap sesiapa jua yang melakukan tindakan yang menggugat keselamatan serta ketenteraman awam," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan