EKONOMI

Maybank Lantik Chua Bee Geok Sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Berkuat Kuasa 1 April 2026

23/02/2026 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Maybank melantik Chua Bee Geok sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (GCOO) berkuat kuasa 1 April, 2026.

Chua, 53, menggantikan Alan Lau Chee Kheong yang bersara selepas 43 tahun berkhidmat di Maybank.

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan perbankan itu memaklumkan Chua akan memimpin operasi kumpulan merangkumi perdagangan, perbendaharaan dan pembayaran, dengan fokus memperkukuh pengalaman pelanggan serta menyokong pertumbuhan di ASEAN, termasuk dalam pengurusan kekayaan, pembayaran, perbankan transaksi serta perbankan korporat dan pelaburan.

Chua mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam industri perbankan, merangkumi bidang kewangan, pengurusan risiko, operasi dan transformasi.

“Beliau menerajui pelbagai program berskala besar yang memberi impak signifikan dalam meningkatkan ketahanan serta keupayaan operasi kumpulan sepanjang lebih satu dekad di Maybank.

“Pengalaman beliau juga merangkumi usaha transformasi perbankan menyeluruh di bawah strategi M25+, selain mengetuai pelaksanaan penyelesaian perdagangan digital merentas Malaysia, Singapura dan Indonesia, sekali gus memperkemas proses dan meningkatkan pengalaman pelanggan,” menurut kenyataan itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata pelantikan ini mencerminkan keberkesanan perancangan penggantian dalaman serta polisi pengurusan bakat Maybank, dalam memperkukuh kepimpinan organisasi.

“Pengalaman Chua amat penting untuk memperkukuh operasi di seluruh kumpulan. Beliau akan terus memimpin transformasi operasi cawangan Maybank serta proses pengesahan pelanggan, sambil menyelia perpindahan ke ibu pejabat baharu kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan