AM

Pengeluaran Padi, Ternakan Di Sarawak Perlu Diperkukuh - Nanta

23/02/2026 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Pengeluaran padi, pembangunan industri ternakan lembu dan ayam serta pemerkasaan sektor perikanan termasuk rantaian bekalan yang berkaitan di Sarawak perlu diperkukuh bagi membolehkan negeri itu lebih berdaya tahan dan kurang bergantung kepada faktor luar.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Penstabilan Harga di Sarawak berkata melalui peningkatan pengeluaran, hasil yang disasarkan akan lebih konsisten, kurang pembaziran dan peningkatan kapasiti bekalan domestik.

Beliau berkata bekalan makanan terutama seperti beras, daging, ayam, telur dan ikan akan lebih terjamin dan stabil untuk jangka masa panjang.

“Usaha ini mampu memberikan impak yang jelas iaitu peningkatan pendapatan petani, penternak dan nelayan, industri pemprosesan tempatan berkembang, ekonomi luar bandar akan lebih rancak, dan pengguna akan menikmati bekalan yang lebih berkualiti dengan harga yang lebih terkawal.

“Pada masa sama, pemantauan harga dari peringkat ladang hingga ke runcit dapat diperkukuh supaya pasaran lebih telus dan adil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Nanta berkata kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus tegas dalam memastikan harga kekal berpatutan dan tidak membebankan rakyat.

“Isu kos sara hidup akan terus ditangani secara konsisten, berfokus dan bertanggungjawab selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan