AM

Gempa Bumi Di Perairan Sabah Terkuat Dalam Tempoh 11 Tahun - MetMalaysia

23/02/2026 12:39 PM

Oleh N.Kuvineshwaren

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Gempa bumi bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan Sabah awal pagi tadi adalah yang terkuat pernah melanda negara ini dalam tempoh 11 tahun, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Beliau berkata berdasarkan rekod jabatan itu, gegaran terkuat direkodkan di Malaysia sebelum ini ialah bermagnitud 6.0 di Ranau, Sabah yang berlaku pada 5 Jun 2015.

Gempa bumi yang berlaku 11 tahun lepas itu mengorbankan 18 nyawa dan kekal sebagai antara kejadian paling diingati dalam lipatan sejarah negara.

Mengulas mengenai kejadian hari ini, Mohd Hisham berkata gempa di perairan Sabah berlaku berikutan kedudukan negeri itu yang berhampiran kawasan Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktif gempa bumi akibat pergerakan plat kerak bumi.

"MetMalaysia masih menjalankan pemantauan rapi dan setakat ini, tiada sebarang gempa susulan direkodkan," katanya kepada Bernama.

Mohd Hisham juga berkata MetMalaysia akan terus memantau secara berterusan aktiviti seismik di kawasan terbabit.

"Memandangkan pusat gempa berada jauh di bawah permukaan bumi, iaitu pada kedalaman 678 kilometer, hanya gegaran lemah dapat dirasai oleh orang ramai," katanya.

Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan bahawa gempa bumi itu, yang melanda perairan Sabah pada 12.57 tengah malam tadi, tidak membawa sebarang ancaman tsunami.

Pusat gempa itu terletak kira-kira 49 kilometer ke barat Kudat, Sabah dan gegaran dirasai di beberapa kawasan di negeri berkenaan selain Sarawak serta Semenanjung Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan