JENAYAH & MAHKAMAH

Artikel Fitnah: Azam Baki Saman Bloomberg, Tuntut Ganti Rugi RM100 Juta

21/02/2026 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki telah memfailkan saman terhadap terhadap Bloomberg L.P berhubung artikel berunsur fitnah berkaitan dakwaan pemilikan saham yang diterbitkan pada 10 Feb lepas.

Saman itu, yang difailkan Azam menerusi Tetuan Zain Megat & Murad di Mahkamah Tinggi di sini semalam, menamakan Bloomberg yang beralamat di Lexington Avenue, New York serta cawangannya di Malaysia, iaitu Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd, selaku defendan pertama dan kedua.

Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan diperoleh media hari ini, Azam selaku plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos.

Plaintif juga memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan-defendan dan ejen atau pekerja mereka daripada membuat, mencetak, menerbitkan perkataan-perkataan yang dirujuk di dalam tuntutan ini atau seumpamanya yang memfitnah plaintif serta memadam dan menurunkan kenyataan fitnah dalam tempoh tiga hari dari tarikh penghakiman.

Turut dituntut permohonan maaf yang mana termanya dipersetujui oleh peguam cara Azam terlebih dahulu untuk diterbitkan di akhbar dan media sosial yang dipilih oleh plaintif.

Azam mendakwa pada 8 pagi 10 Feb lepas, kedua-dua defendan telah menerbitkan dan menyebabkan penerbitan satu artikel di Bloomberg.com bertajuk Malaysian Anti-Graft Chief Returns to Stocks After Outcry yang dikarang oleh Niki Koswanage dan Tom Redmond.

Kenyataan fitnah itu mendakwa plaintif, atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dan artikel itu juga menyatakan tanpa bukti bahawa plaintif tidak mengisytiharkan asetnya secara terbuka.

Menurut Azam, artikel tersebut secara jelas berkaitan dengan pentadbiran awam Malaysia dan menyentuh secara langsung kedudukannya sebagai seorang penjawat awam berprofil tinggi selain boleh diakses melalui langganan Bloomberg Terminal yang digunakan oleh pelanggan, institusi kewangan serta pengguna komersial di negara ini.

Azam mendakwa kenyataan fitnah itu secara jelas merujuk kepada beliau sebagai individu yang kononnya menyalahgunakan kuasa dan kedudukan atau korup.

Sebelum penerbitan kenyataan fitnah itu, Azam berkata defendan menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu yang ingin diterbitkan, dan beliau telah memberikan penjelasan yang terperinci serta munasabah berhubung pertanyaan yang dikemukakan.

Bagaimanapun, Azam berkata defendan telah gagal dan enggan mengambil kira sepenuhnya penjelasan beliau sebaliknya memilih untuk menerbitkan artikel itu dalam bentuk yang berat sebelah, sensasi serta mengelirukan sehingga memberikan gambaran negatif yang tidak benar terhadapnya.

Plaintif mendakwa defendan telah gagal mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk mengesahkan ketepatan fakta sebelum penerbitan termasuk kegagalan untuk menjalankan pengesahan lanjut, semakan silang sumber dan penilaian wajar terhadap maklumat yang diperoleh.

"Tindakan defendan-defendan bertentangan dengan prinsip kewartawanan bertanggungjawab serta elemen-elemen di bawah Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, iaitu larangan penerbitan berita palsu atau berita yang tidak disahkan... pihak penerbit mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa sesuatu penerbitan adalah tepat, benar dan tidak mengelirukan sebelum disiarkan kepada umum," katanya dalam pernyataan tuntutan.

Beliau juga mendakwa kegagalan defendan untuk mengambil langkah pengesahan yang munasabah walaupun mempunyai peluang untuk berbuat demikian, menunjukkan sikap cuai melampau, pengabaian melulu terhadap kebenaran dan berniat jahat.

Selain itu, Azam mendakwa kenyataan fitnah tersebut antara lain membawa maksud beliau seorang pegawai awam yang tidak jujur, tidak berintegriti dan tidak boleh dipercayai, melanggar peraturan pengisytiharan aset yang berkenaan, menyalahgunakan kedudukan dan kuasa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk kepentingan peribadi selain didakwa terlibat dalam salah laku kewangan atau aktiviti yang meragukan berkaitan pemilikan saham.

Dakwa plaintif, artikel itu secara sindiran turut menggambarkan bahawa beliau telah gagal mematuhi kewajipan pengisytiharan aset atau bertindak secara tidak telus.

Beliau berkata kenyataan-kenyataan fitnah dan sindiran itu adalah tidak benar, tidak berasas dan berniat untuk merendahkan nama baik serta maruahnya kepada pihak awam.

Azam juga berkata beliau mematuhi sepenuhnya semua keperluan pengisytiharan aset yang dikenakan ke atas pegawai awam serta sebarang pemerolehan dan seterusnya pelupusan saham telah diisytiharkan dengan teratur melalui saluran rasmi yang ditetapkan termasuk Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS).

Beliau berkata saham yang disebut dalam artikel itu telah dilupuskan sebelum diterbitkan dan plaintif mempunyai keupayaan kewangan yang sah untuk membuat pelaburan sedemikian daripada pendapatan sah serta faedah persaraan.

Menurut Azam, artikel itu mengandungi pelbagai material yang tidak tepat, memberikan gambaran yang mengelirukan dan penyampaian fakta secara terpilih yang secara keseluruhannya mewujudkan suatu naratif palsu mengenai beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan