AM

Tembok Laut Padang Kota Lama, Pulau Pinang Terima Pengiktirafan UNESCO

21/02/2026 12:28 PM

GEORGE TOWN, 21 Feb (Bernama) -- Projek Tembok Laut dan Persiaran Esplanade yang melibatkan pemuliharaan dan naik taraf Padang Kota Lama di sini menerima pengiktirafan antarabangsa pada Anugerah Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Asia-Pasifik bagi pemeliharaan Warisan Budaya 2025. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai yang memaklumkan perkara itu menerusi hantaran Facebook hari ini berkata projek tersebut menerima anugerah bagi Reka Bentuk Baharu dalam Konteks Warisan dengan pengiktirafan khas untuk pembangunan mampan.

Wong juga berkongsi kenyataan juri yang menyatakan projek itu menetapkan penanda aras nasional bagi pemuliharaan dengan reka bentuk baharu dalam menata semula ruang sivik bersejarah dengan menggabungkan hibrid inovatif elemen kejuruteraan tradisional dan moden dalam menghadapi kemerosotan pantai. 

Juri antarabangsa yang terdiri daripada tujuh ahli berkata reka bentuk itu mengekalkan bentuk dan fungsi untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti, menambah baik akses ke kawasan tepi laut dan menyokong pengawasan alam sekitar sebagai tindak balas kepada perubahan iklim.

“Tembok laut baharu itu kini menampilkan persiaran lebar yang menerapkan tipologi abad ke-19 dengan pembinaan granit tradisional, asas cerucuk kepingan tersembunyi dan lapisan batu untuk ketahanan hakisan. Ia menampilkan teres bawah yang tenggelam semasa air pasang besar, mendedahkan tembok laut asal berhampiran Tugu Peringatan Perang Cenotaph.

“Di bawah bimbingan pakar, peningkatan ciri sejarah Esplanade menonjolkan Nilai Universal Cemerlang bagi tapak Warisan Dunia 'Melaka dan George Town, Bandar Bersejarah di Selat Melaka'. Struktur dwifungsi, bahan tempatan dan tadbir urus pihak berkepentingan dikaji sebagai model di seluruh Malaysia,” kata juri.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan