KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Syarikat operasi YTL Corporation Bhd untuk kompleks hiburan baharu di Bristol, YTL Live, mengumumkan syarikat insurans utama di United Kingdom iaitu Aviva, menjadi rakan kongsi arena dalaman Bristol berkapasiti 20,000 orang melalui perjanjian penajaan jangka panjang.
Dalam kenyataan bersama, YTL dan Aviva berkata perjanjian jangka panjang bernilai berjuta-juta pound itu menjamin hak penamaan untuk tempat itu, yang akan dikenali sebagai Aviva Arena apabila dibuka pada akhir 2028, menjadikannya antara venue terbesar di negara itu dan yang pertama seumpamanya di Barat England.
Mereka berkata kira-kira 1.4 juta orang dijangka menghadiri acara muzik, sukan dan hiburan secara langsung di Aviva Arena setiap tahun.
“Kerja-kerja telah dimulakan untuk mengubah Hangar Brabazon yang ikonik, tempat kelahiran semua pesawat supersonik Concorde di UK, menjadi destinasi hiburan secara langsung.
“Keseluruhan kompleks yang dinamakan YTL Live akan menempatkan Aviva Arena di bahagian tengah dan terbesar dari tiga Hangar Brabazon, serta ruang persidangan dan pameran, dan dijangka menyumbang kira-kira £1 bilion kepada ekonomi Bristol secara keseluruhan sepanjang dekad pertama operasi,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, projek itu akan mewujudkan lebih 2,000 pekerjaan semasa pembinaan, dengan sehingga 500 lagi jawatan tetap apabila arena beroperasi, memberikan manfaat ekonomi dan sosial jangka panjang kepada rantau berkenaan.
Aviva Arena dijangka menganjurkan lebih 120 acara utama setiap tahun, menjadikan tempat itu sebagai arena antarabangsa terkemuka yang “wajib dimainkan” oleh para artis.
Pengerusi Eksekutif YTL Corporation Tan Sri Francis Yeoh berkata kerjasama dengan Aviva mencerminkan nilai korporat yang sama dan fokus bersama terhadap komuniti, keterangkuman dan kemampanan.
Yeoh berkata walaupun YTL terus berkembang ke dalam perniagaan infrastruktur digital termasuk rangkaian 5G, pusat data kecerdasan buatan (AI) melalui kerjasamanya dengan Nvidia dan pelancaran bank digital yang diperkasakan sepenuhnya oleh AI, kumpulan itu kekal sebagai pengurus jangka panjang untuk portfolio infrastruktur sedia ada.
“Pembelian lapangan terbang Filton yang terbiar pada 2015 merupakan langkah besar ke arah sesuatu yang telah kami lakukan banyak kali di Asia – menjana semula tapak terbiar dengan penuh teliti dan imaginasi untuk mewujudkan persekitaran baharu serta komuniti yang makmur,” katanya pada majlis pelancaran hak penamaan.
Tambahnya, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini telah melancarkan pelan induk YTL yang disemak semula untuk membangunkan Brabazon New Town, selari dengan komitmen kumpulan itu untuk melabur kira-kira £4 bilion di UK dalam tempoh lima tahun, mengukuhkan kedudukannya sebagai pelabur Malaysia terbesar di negara itu.
“Kerja-kerja meroboh telah selesai dan pembinaan kini dimulakan oleh syarikat kami sendiri, YTL Construction UK. Kami berharap ia dapat disiapkan pada akhir 2028,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial