AM

Pengunjung Dijemput Teroka Habitat Beruang Matahari Bersama Maskot TMM2026

20/02/2026 12:21 PM

PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), pengunjung dijemput meneroka habitat semula jadi Beruang Matahari, spesies terancam yang diangkat sebagai maskot rasmi dikenali Wira dan Manja, seiring usaha Malaysia memperkukuh promosi produk ekopelancongan negara.

Tourism Malaysia memaklumkan Wira dan Manja melambangkan komitmen negara terhadap usaha pemuliharaan serta pelancongan lestari.

"Dihasilkan dalam bentuk animasi yang mesra dan interaktif, Wira dan Manja direka bagi memikat hati pelawat daripada pelbagai lapisan usia, sekali gus membangkitkan suasana penuh kemesraan dan keceriaan.

“Pendekatan ini sekali gus memperkukuh imej Malaysia di persada antarabangsa sebagai destinasi pelancongan yang mesra, dinamik dan inklusif,” menurut kenyataan hari ini.

Pelancong juga berpeluang melihat Beruang Matahari lebih dekat di beberapa lokasi utama di seluruh negara, termasuk Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari (BSBCC) di Sandakan, Taman Hidupan Liar Lok Kawi dan Pusat Hidupan Liar Matang.

Selain itu, pengunjung boleh ke Zoo Taiping and Night Safari dan Lost World of Tambun di Perak, Zoo Negara, 99 Wonderland Park, di Kuala Lumpur, Sunway Lagoon Wildlife Park (Selangor), Zoo Melaka, A’Famosa Safari Wonderland (Melaka), Zoo Johor (Johor Bahru) dan Zoo Kemaman dan Taman Rekreasi di Terengganu.

“Menerusi kempen ini, Malaysia mengajak pengunjung untuk menikmati keunikan hidupan liar negara, menyokong usaha pemuliharaan serta menikmati pengalaman berasaskan alam semula jadi yang mempamerkan biodiversiti dan tarikan ekopelancongan yang kaya di negara ini.

“Pengunjung digalakkan untuk meneroka insipirasi di sebalik Wira dan Manja, maskot kesayangan Malaysia dalam persekitaran yang selamat dan terpelihara. Pengalaman ini menawarkan perjalanan yang bermakna sambil meraikan warisan semula jadi dan budaya negara,” menurut kenyataan itu.

Beruang Matahari dipilih ikon rasmi TMM2026 bagi menonjolkan biodiversiti Malaysia yang kaya serta komitmen teguh negara dalam melindungi spesies terancam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan