DUNIA

Amaran PBB Mengenai Potensi “Penghapusan Etnik” Di Gaza Dan Tebing Barat

20/02/2026 11:02 AM

GENEVA, 20 Feb (Bernama-QNA) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai potensi “penghapusan etnik” di Gaza dan Tebing Barat susulan serangan Israel yang semakin meningkat serta pemindahan paksa orang awam Palestin, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Laporan oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia menyatakan kemusnahan kawasan kejiranan, sekatan terhadap bantuan kemanusiaan dan pemindahan paksa dilihat bertujuan mewujudkan perubahan demografi yang berkekalan.

Laporan itu meliputi tempoh November 2024 hingga Oktober 2025 dan mendokumentasikan pembunuhan, kecacatan anggota badan serta penderitaan meluas orang awam sejak 7 Okt 2023.

Sekurang-kurangnya 463 rakyat Palestin, termasuk 157 kanak-kanak, maut akibat kebuluran di Gaza yang dikaitkan secara langsung dengan langkah-langkah Israel, menurut laporan itu.

Laporan berkenaan menegaskan penggunaan kebuluran terhadap orang awam merupakan jenayah perang dan boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan atau genosid sekiranya bertujuan memusnahkan sesuatu kumpulan kebangsaan, etnik atau agama.

Di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, tentera Israel melaksanakan penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan serta perobohan rumah secara haram bagi menguatkuasakan kawalan dan penguasaan dan penindasan terhadap rakyat Palestin. Walaupun gencatan senjata dicapai pada 10 Okt 2025, kekebalan daripada tindakan undang-undang masih berterusan dan badan kehakiman Israel tidak memastikan kebertanggungjawapan terhadap pelanggaran berkenaan.

-- BERNAMA-QNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan