AM

Kuih Bakul Simbol Kemakmuran, Kekal Relevan Setiap Tahun

17/02/2026 07:37 PM

ALOR SETAR, 17 Feb (Bernama) -- Kemunculan pelbagai jenis kuih atau biskut moden tetap tidak dapat menggugat kuih bakul yang terus menjadi pilihan utama masyarakat Tionghua setiap kali Tahun Baharu Cina, bukan sekadar kerana rasanya tetapi nilai budaya yang tersirat di dalamnya.

Rasa autentik dengan tekstur lebih kenyal dan sedap menjadikan kuih tradisional berbentuk bulat itu tetap relevan di tengah arus pemodenan.

Sim Beng Ai, 53, yang mengusahakan kuih bakul secara kecil-kecilan dari rumah berkata tempahan yang diterimanya hingga saat akhir daripada ahli keluarga serta rakan-rakan menjadi bukti bahawa kelazatan kuih tradisional itu tidak pernah lapuk dek zaman.

Berkongsi cara penyediaan kuih bakul, dia berkata seperti kebanyakan kuih tradisional lain, pembuatan kuih bakul juga menuntut kesabaran dan ketelitian yang tinggi, sebab itu ia tidak boleh dilakukan secara sambil lewa.

Ibu kepada dua anak itu suri rumah itu berkata bahan utama yang digunakan hanya tepung pulut dan gula tetapi prosesnya sangat remeh kerana mengambil masa tiga hari untuk disiapkan dengan sempurna, cantik serta sedap.

"Aroma kuih jadi lebih harum hasil daripada proses kukusan yang panjang dan dibalut dengan daun pisang. Proses pembuatan kuih ini susah, kalau salah penjagaan memang kuih tidak menjadi

“Biasanya beras pulut akan direndam, dikisar dan dikeringkan, selepas itu baru bancuhan adunan dibuat. dan perlu dikukus selama 24 jam, suhu api kena dijaga dengan baik kalau tidak kuih kurang cantik atau rosak,” katanya kepada Bernama.

Sim mengakui tidak mampu menerima tempahan dalam kuantiti besar kerana hanya dibantu oleh suaminya, Saw Beng Hup, 58, terutama pada hujung minggu disebabkan tuntutan kerja pada hari biasa.

Sementara itu, Saw berkata kuih bakul atau 'nian gao' terus menjadi antara hidangan tradisional paling signifikan setiap kali Tahun Baharu Cina kerana ia melambangkan kemakmuran, peningkatan rezeki serta hubungan kekeluargaan yang erat dalam masyarakat Tionghua.

"Resipi dan cara pembuatan kuih bakul tradisional saya belajar daripada mak, dia pun belajar daripada nenek, jadi ini memang tradisi turun-temurun keluarga kami," katanya.

Sementara itu, Saw yang merupakan pengetua sebuah sekolah menengah di sini berhasrat untuk mengambil alih sepenuhnya perusahaan kuih bakul tersebut selepas bersara nanti memandangkan adik-beradik yang lain kurang berminat mewarisi pembuatannya.

Beliau berkata dalam tempoh tiga minggu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, mereka telah menyiapkan lebih 1,000 kuih bakul pelbagai saiz yang dijual pada harga antara RM6 hingga RM12, bergantung kepada saiz.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan