AM

Permintaan Makanan Laut Premium Di Sabah Meningkat Sempena Tahun Baharu Cina

16/02/2026 06:43 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KOTA KINABALU, 16 Feb (Bernama) -- Bekalan makanan laut khususnya ikan premium menjadi tumpuan utama setiap kali menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, dengan permintaan tinggi menyebabkan harga meningkat terutama bagi spesies tertentu di Sabah.

Timbalan Setiausaha Dewan Perniagaan Tionghua Sabah dan Labuan Weal Cheoh berkata makanan laut seperti udang serta ikan laut dalam antaranya suno (kerapu merah) dan bawal Cina yang dibawa dari Tawau sentiasa menjadi pilihan masyarakat Cina untuk juadah makan besar bersama keluarga.

Beliau yang juga Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Papar berkata peningkatan permintaan itu memberi kesan kepada harga, terutama bagi ikan bawal Cina yang sebelum ini dijual sekitar RM100 sekilogram, kini mencecah antara RM140 hingga RM160 sekilogram bergantung kepada saiz.

"Setiap kali menjelang Tahun Baru Cina, barangan laut menjadi juadah perayaan. Ikan laut dalam sentiasa menjadi pilihan utama, selain udang dan abalone. Ini normal sebab permintaan tinggi.

"Kami sambut perayaan dengan makan besar, macam makan malam reunion. Jadi banyak keluarga, walaupun pendapatan sederhana, mereka memang mampu untuk beli," katanya kepada Bernama ketika ditemui, hari ini.

Weal berkata kenaikan harga hasil laut itu bersifat sementara dan lazim berlaku setiap kali musim perayaan dan biasanya akan kembali stabil dalam tempoh lima hingga 10 hari pertama perayaan.

Beliau berkata peniaga dan pengguna kebiasaannya membuat persiapan awal termasuk membeli makanan laut sejuk beku bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang musim perayaan.

"Biasanya kaum Cina akan buat persiapan awal, sebab itu makanan laut boleh beli yang sejuk beku. Jadi untuk peniaga ataupun orang awam biasa, memang ada yang membuat persiapan awal untuk stok makanan besar musim perayaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata bekalan barangan import seperti limau dan sayur tidak berdepan masalah serius dan harga dilihat lebih stabil berbanding tahun lalu.

Bagi bekalan ayam dan telur pula, beliau berkata situasi di Papar dan Kota Kinabalu terkawal dengan bekalan konsisten daripada pembekal utama, manakala permintaan telur dalam kalangan masyarakat Cina tidak setinggi musim perayaan lain.

Tinjauan Bernama di Pasar Kepayan dan Donggongon mendapati beberapa barangan tertentu sudah mula habis seawal 10 pagi, manakala beberapa peniaga serta pembekal Cina telah mula bercuti.

Peniaga ikan, Ardi Labado, 32, berkata bekalan ikan dijangka sedikit terjejas apabila pembekal bercuti, walaupun situasi itu hanya berlaku dalam tempoh singkat, namun beliau membuat sedikit persediaan stok meskipun bekalan ikan tidak boleh disimpan lama kerana faktor kesegaran.

"Cuti dalam satu hari sahaja. Kemungkinan memang ada gangguan, sesak sikitlah. Tunggu selepas Tahun Baru Cina baru ikan okay," katanya ketika ditemui Bernama, di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga sayur, Lomisi Ingang, 56, berkata setakat ini bekalan masih mencukupi kerana pembekal membuat persiapan awal, malah beliau mengambil langkah menambah stok bagi memastikan keperluan harian pelanggan dapat dipenuhi sepanjang musim perayaan.

"Macam sekarang ini, saya ambil bekalan tambahan untuk keperluan harian. Harga memang ada naik, sebab tadi saya membeli di kedai borong, naik dalam RM1," katanya.

Beliau berkata antara barangan yang berkemungkinan berdepan bekalan terhad ialah telur, cili, limau serta beberapa jenis sayur-sayuran tertentu yang mendapat permintaan tinggi, selain produk berasaskan soya seperti tempe dan tauhu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan