DUNIA

Lebih 20,000 Pesakit Gaza Menunggu Dibawa Keluar untuk Rawatan Akibat Sekatan Di Rafah

16/02/2026 10:54 AM

BANDARAYA GAZA, 16 Feb (Bernama-Anadolu) -- Lebih 20,000 rakyat Palestin yang sakit dan cedera di Semenanjung Gaza sedang menunggu dibawa ke luar bagi mendapatkan rawatan susulan Israel terus mengendalikan lintasan sempadan Rafah dengan Mesir di bawah sekatan ketat, menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Ahad.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan pihaknya memantau rapat operasi lintasan sempadan berkenaan yang masih berjalan secara separa dan terhad ketika keadaan kesihatan di Gaza semakin merosot, lapor Anadolu Ajansi.

Israel membuka semula bahagian Palestin di lintasan sempadan Rafah pada 2 Feb lalu selepas mendudukinya sejak Mei 2024, namun di bawah syarat yang sangat ketat.

Kementerian itu menyatakan bahawa lebih 20,000 pesakit dan individu cedera berdaftar dalam senarai perjalanan, termasuk pesakit kanser kritikal, jantung dan kegagalan buah pinggang.

Ramai dalam kalangan yang cedera memerlukan prosedur pembedahan lanjutan yang tidak tersedia di dalam Gaza berikutan sekatan dan serangan berulang terhadap sistem penjagaan kesihatan, tambah kementerian itu.

Walaupun Israel mengumumkan pembukaan semula lintasan sempadan itu, jumlah individu yang dibenarkan keluar kekal terhad dan tidak sepadan dengan skala malapetaka kesihatan yang berlaku, katanya.

Kementerian itu turut memaklumkan pihaknya menerima “testimoni menyayat hati” daripada pesakit dan individu cedera yang berjaya keluar bagi mendapatkan rawatan di luar negara, yang melaporkan tentang langkah sekatan serta komplikasi yang tidak munasabah dikenakan oleh Israel, sekali gus memburukkan lagi penderitaan psikologi dan fizikal mereka.

Pada 5 Feb, Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di wilayah Palestin yang diduduki memaklumkan bahawa mereka yang pulang memberitahu selepas melintasi sempadan, lelaki Palestin bersenjata yang disokong tentera Israel membawa mereka ke pusat pemeriksaan tentera Israel. Di sana ada antara mereka yang digari, ditutup mata, diugut serta  barangan milik mereka dirampas.

Sebagai respons terhadap laporan itu, dua pertubuhan hak asasi manusia Israel, Adalah dan Gisha, menggesa supaya “dasar penderaan dan sekatan menyalahi undang-undang” yang dikenakan ke atas penduduk Gaza yang cuba pulang melalui Rafah dihentikan, sambil memberi amaran bahawa langkah berkenaan bersamaan dengan “pemindahan secara paksa”.

Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran bahawa mekanisme terhad yang berterusan di Rafah, selain mengehadkan jumlah pengembara dan melambatkan pemindahan perubatan, mengancam nyawa ribuan pesakit serta memperdalam krisis kemanusiaan.

Ia menggesa supaya lintasan sempadan itu dibuka secara kekal dan berkala bagi memastikan pesakit serta individu cedera dapat melakukan perjalanan tanpa sekatan atau kelewatan.

Kementerian itu turut menyeru pemindahan segera kes-kes kritikal dan peningkatan jumlah individu yang dibenarkan keluar selaras dengan keperluan perubatan terkumpul, serta menggesa badan antarabangsa dan kemanusiaan campur tangan bagi menjamin hak pesakit untuk mendapatkan rawatan dan melakukan perjalanan mengikut undang-undang antarabangsa.

Angka separa rasmi turut menunjukkan bahawa 80,000 rakyat Palestin telah mendaftar untuk kembali ke Gaza, sekali gus menzahirkan penolakan meluas terhadap pemindahan dan keazaman untuk pulang walaupun berlaku kemusnahan.

Sebelum serangan Israel di Semenanjung Gaza, ratusan rakyat Palestin melintasi Rafah setiap hari dalam kedua-dua arah menerusi mekanisme yang diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri Gaza dan pihak berkuasa Mesir tanpa penglibatan Israel.

Di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata, Israel sepatutnya membuka semula lintasan sempadan itu sepenuhnya apabila gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt lalu, namun gagal berbuat demikian.

Gencatan senjata itu menamatkan serangan Israel selama dua tahun yang bermula pada 8 Okt 2023. Pihak berkuasa Palestin menyatakan serangan itu mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin, mencederakan lebih 171,000 yang lain serta menyebabkan kemusnahan meluas melibatkan 90 peratus infrastruktur awam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan kos pembinaan semula mencecah kira-kira US$70 bilion.

Sekurang-kurangnya 601 rakyat Palestin maut dan lebih 1,600 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata bermula, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan