MIRI, 15 Feb (Bernama) -- Kerajaan MADANI terus memperkukuh keupayaan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi penambahan aset strategik untuk meningkatkan tahap keselamatan perairan negara khususnya di Sarawak dan Laut China Selatan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kapal misi pelbagai guna (MPMS) buatan Turkiye dijangka diterima pada pertengahan 2027 manakala empat helikopter Agusta AW189 akan diterima secara berperingkat mulai Julai 2026.
“Kapal berkenaan yang pertama akan ditempatkan di Sarawak manakala sebuah lagi di Pantai Timur Semenanjung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-21 APMM di sini hari ini.
Beliau berkata helikopter berkenaan pula akan ditempatkan di Sabah.
Penempatan aset itu mengambil kira aspek keselamatan, keperluan operasi dan tahap ancaman di kawasan terlibat.
Pada penghujung tahun lepas, agensi tersebut turut menerima kapal Ex-USCG Cutter Steadfast daripada United States Coast Guard (USCG) bagi meningkatkan keupayaan rondaan jarak jauh serta operasi berterusan di perairan negara.
Beliau berkata penambahan aset udara dan laut itu akan mempertingkatkan keupayaan pengawasan, tindak balas kecemasan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) selain memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim.
“Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Shamsul Anuar yang mewakili Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut merasmikan Kompleks Zon Maritim Miri bernilai RM118.3 juta.
Kompleks itu menempatkan bangunan pentadbiran moden, jeti operasi, 95 unit kuarters kediaman serta kemudahan sokongan lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial