AM

KKM Laksana Pembaharuan Menyeluruh Tangani Kekangan Tenaga Kerja - Dzulkefly

14/02/2026 03:24 PM

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui kekangan sumber manusia yang berterusan di fasiliti penjagaan kesihatan awam, dan berikrar melaksanakan pembaharuan struktur secara menyeluruh bagi menangani cabaran tenaga kerja di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM mengambil maklum mengenai masalah itu, yang sering menjadi tumpuan orang ramai berhubung kekurangan petugas, dan menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara.

Beliau berkata KKM telah mengenal pasti dua cabaran struktur utama yang ketika ini menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam, iaitu kekurangan bekalan tenaga kerja dan pengagihan tidak seimbang.

“Bagi menangani isu itu secara berkesan, KKM bergerak melangkaui langkah penyelesaian sementara yakni ke arah reformasi struktur yang menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di X, hari ini.

Dzulkefly berkata antara pembaharuan yang digariskan, termasuk pemansuhan secara berperingkat sistem kontrak bagi pegawai perubatan (MO), mobilisasi wajib bagi memastikan pengagihan tenaga kerja yang lebih adil, penyelarasan latihan pegawai perubatan siswazah (HO) bagi mempercepat penyertaan dalam perkhidmatan, serta mempertingkat kebajikan petugas kesihatan.

“Saya mengalu-alukan perbahasan matang mengenai perkara ini. Maklum balas yang membina amat penting bagi menambah baik sistem, serta penyampaian penjagaan kesihatan awam kita, dan bagi memenuhi jangkaan rakyat yang belum dipenuhi,” katanya.

KKM dalam kenyataan semalam menjelaskan bahawa situasi sumber manusia merupakan manifestasi kepada cabaran struktur, yang diwarisi serta ketidakseimbangan agihan (maldistribution) tenaga kerja PADA peringkat nasional yang telah berlarutan sekian lama.

Trend penurunan jumlah graduan perubatan yang memasuki pasaran kerja dipantau rapi, dan penyusutan ini telah mencetuskan 'reaksi berantai' kepada kadar pengisian perjawatan di fasiliti kesihatan awam.

Menurut KKM, trend nasional bagi kadar pengisian di 48 Hospital Latihan Siswazah (HLS) seluruh negara kini berada pada tahap 53 peratus hingga Feb 2026, iaitu hanya 6,500 slot terisi daripada 12,198 kapasiti.

Cabaran itu menjadi lebih kritikal bagi Lantikan Bilangan 1 Tahun 2026, walaupun kesemua 579 graduan yang memohon telah dilantik, jumlah itu hanya mengisi kira-kira 10 peratus daripada kekosongan slot nasional.

Penurunan pengisian slot Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) telah memberikan impak langsung kepada keupayaan sistem untuk membekalkan tenaga kerja yang mencukupi.

Bagaimanapun, KKM menegaskan kembali bahawa prinsip asas latihan PPS selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 25 Julai 2025, penempatan PPS adalah bertujuan  melengkapkan kompetensi klinikal melalui latihan berstruktur. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan