AM

Pembenihan Awan Di Kedah Dan Perak Tangani Kesan Cuaca Panas, Penyusutan Air - NADMA

14/02/2026 12:23 PM

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) -- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di zon utara bagi menangani kesan cuaca panas serta penyusutan paras air di beberapa empangan utama.

NADMA menerusi hantaran Facebook rasminya memaklumkan operasi yang bermula semalam diteruskan hari ini dengan memberi tumpuan kepada kawasan tadahan hujan di Kedah dan Perak, melibatkan beberapa empangan strategik yang menjadi sumber utama bekalan air domestik, industri dan pengairan pertanian.

“Di Kedah, kawasannya meliputi Empangan Pedu yang merupakan nadi utama pengairan padi serta bekalan air domestik dan industri, Empangan Muda pula berfungsi sebagai empangan pengimbang dengan airnya disalurkan ke Empangan Pedu melalui Terowong Saiong dan Empangan Ahning yang menjadi antara empangan penting bagi pelepasan air untuk kegunaan domestik dan industri,” kata NADMA.

Sementara itu di Perak, operasi tertumpu di Empangan Bukit Merah bagi memastikan kestabilan sistem pengairan padi di utara negeri itu, selain Empangan Temenggor yang berperanan sebagai penjana kuasa hidroelektrik dan kawasan tadahan air bagi membekalkan air minuman dan keperluan sektor pertanian khususnya di daerah Perak Tengah.

Operasi itu menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang.

Menurut NADMA pelaksanaan OPA itu diharap dapat membantu memulihkan simpanan air demi kesejahteraan rakyat, khususnya bagi sektor pertanian dan kegunaan domestik.

OPA dilakukan untuk mempertingkatkan proses pembentukan hujan dan menambahkan jumlah hujan di kawasan yang dikehendaki semasa krisis kekurangan air, jerebu dan kebakaran hutan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan