EKONOMI

Untung Bersih Suku Ketiga MNRB Naik Kepada RM150.97 Juta

13/02/2026 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM150.97 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2025 (S3 TK2026) daripada RM115.86 juta pada tahun sebelumnya.

Hasil turut meningkat kepada RM973.93 juta berbanding RM826.38 juta sebelumnya, didorong oleh sumbangan yang lebih baik merentas semua segmen, iaitu segmen takaful am, insurans semula, takaful semula dan takaful keluarga, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Pada S3 TK2026, perniagaan insurans semula mencatatkan jumlah hasil sebanyak RM505.4 juta, meningkat 7.1 peratus tahun ke tahun (y-o-y), manakala hasil perniagaan takaful semula melonjak 60.6 peratus kepada RM44.0 juta.

Perniagaan takaful am menyaksikan pertumbuhan hasil 32.8 peratus tahun ke tahun kepada RM308.6 juta, manakala hasil takaful keluarga meningkat 5.6 peratus kepada RM129.3 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM431.66 juta berbanding RM300.80 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil mengukuh kepada RM2.88 bilion daripada RM2.56 bilion sebelum ini.

Mengenai prospek, MNRB berkata industri insurans semula dan takaful semula Malaysia dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhan pada tahun ini, disokong oleh penambahbaikan kawal selia, peningkatan permintaan terhadap perlindungan kewangan dan inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2026.

Ini termasuklah produk-produk insurans mampu milik, pembaharuan penjagaan kesihatan dan usaha keterangkuman kewangan yang diperluas, katanya.

Selain itu, kumpulan berkenaan berkata segmen insurans semula dan takaful semula dijangka mendapat manfaat daripada keadaan pasaran yang stabil, harga yang menggalakkan dan peningkatan kesedaran terhadap risiko berkaitan iklim.

“Kumpulan kekal optimistik terhadap prospek jangka panjangnya dengan memanfaatkan kepelbagaian strategik dan pengunderaitan yang berdisiplin untuk meningkatkan prestasi kewangan.

“Inovasi dan kebolehsuaian yang berterusan juga merupakan kunci untuk mengharungi tekanan global dan merebut peluang baharu dan belum diterokai, khususnya di pasaran luar negara,” katanya.

MNRB berkata kumpulan itu kekal yakin terhadap pertumbuhan jangka panjang perniagaan insurans semula dan takaful semula, disokong oleh strategi kepelbagaian portfolio yang memberi tumpuan kepada keuntungan mampan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Presiden Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata prestasi kukuh kumpulan pada S3 TK2026 menandakan pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhannya.

Ia mencerminkan pengunderaitan yang berdisiplin, pemilihan risiko yang berhemat dan pelaksanaan yang konsisten merentas perniagaan teras, katanya.

“Peningkatan dalam kualiti pendapatan dan pulangan ini menekankan daya tahan model operasi kami dalam persekitaran pasaran yang dinamik.

“Kami berharap prestasi yang memberangsangkan ini akan terus memacu momentum peningkatan nilai organisasi kami,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan