KOTA TINGGI, 13 Feb (Bernama) -- Seorang wanita warga asing yang hamil tujuh bulan ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah di Kampung Makam, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mangsa yang tidak sedarkan diri pada 7.42 pagi.
“Susulan maklumat tersebut, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi digerakkan ke lokasi bagi mengesahkan kejadian.
“Pemeriksaan awal polis menjumpai seorang perempuan hamil tujuh bulan terbaring berlumuran darah dengan kecederaan di bahagian kepala dipercayai dihentak menggunakan objek tumpul,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kota Tinggi.
Yusof berkata polis turut menahan suami mangsa, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an yang berada di rumah sewa pasangan itu bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh pegawai forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor membawa kepada penemuan lesung batu yang disyaki digunakan oleh suspek sebagai senjata,” katanya.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk dibedah siasat dan punca kematian masih dalam siasatan.
Yusof berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan cemburu dan permohonan reman selama tujuh hari terhadap suspek akan dibacakan di hadapan Majistret Kota Tinggi esok.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak melebihi 12 kali, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial