JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM Tumpas Sindiket Dadah Antarabangsa, Rampasan Bernilai RM174 Juta

13/02/2026 09:05 PM

KOTA KINABALU, 13 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menerusi beberapa serbuan dalam Ops Coleoptera pada 20 dan 21 Jan melibatkan rampasan serta sitaan bernilai RM174 juta. 

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata tujuh serbuan di Penampang, Inanam, Kota Kinabalu, Pelabuhan Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Klang di Selangor, menahan lapan suspek berusia antara 23 hingga 45 tahun termasuk dua wanita.

Beliau berkata polis merampas 3,043.5 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, 102.5 kg ketamin, 90 kg pil ekstasi, empat kg cecair vape disyaki mengandungi kokain serta 2.6 kg pil Erimin 5.

“Sindiket dipercayai menggunakan laluan laut sebagai kaedah utama pengangkutan dan menjadikan kontena di premis logistik sebagai tempat penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.

“Pada 21 Jan, polis merampas 250 bungkusan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 255 kg dari sebuah premis logistik di Pelabuhan Klang yang dipercayai belum sempat dihantar ke Sabah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini. 

Mohd Khalid berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak beberapa tahun lepas dan jumlah dadah yang dirampas boleh memusnahkan kira-kira 16 juta individu.

Beliau berkata ujian saringan awal air kencing mendapati lima suspek positif methamphetamine dan ketamin, dengan empat daripada mereka dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. 

Dua lagi suspek diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata Ops Bayu 2 yang dilaksanakan dari 5 hingga 8 Feb menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 35 tahun di sekitar Penampang dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM69.659 juta.

“Polis turut merampas kenderaan pacuan empat roda, wang tunai dan telefon bimbit,” katanya. 

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dadah melalui hotline JSJN 012 -208 7222.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan