EKONOMI

Dana Pengkomersialan Percepat Kemasukan Teknologi Tempatan Ke Pasaran - Chang

13/02/2026 07:28 PM

PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan hari ini mengumumkan pengenalan Dana Pengkomersialan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi membantu teknologi tempatan yang telah dibangunkan untuk digunakan dan dipasarkan secara lebih meluas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata dana itu menawarkan pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap projek dengan pelaksanaannya disokong oleh ekosistem inovasi bersepadu Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).

Beliau berkata dana itu khusus untuk teknologi tempatan yang telah disahkan dan bersedia merapatkan jurang terakhir ke arah kesediaan pasaran, penerimagunaan dan pelaksanaan dunia sebenar.

"Kita mahu melihat lebih banyak syarikat teknologi Malaysia berkembang daripada fasa pembangunan kepada penskalaan global," katanya dalam kenyataan.

Chang berkata Dana Pengkomersialan diwujudkan untuk memperkukuh ekosistem sokongan supaya inovasi yang berpotensi tinggi dapat bergerak lebih pantas ke pasaran, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi

Beliau berkata pengenalan dana itu turut mencerminkan anjakan strategik negara daripada sekadar menghasilkan teknologi kepada memastikan inovasi tempatan mampu digunakan, diskalakan dan memberi pulangan nilai kepada negara.

"Permohonan Dana Pengkomersialan akan dibuka bermula 1 Mac ini,” katanya dan memaklumkan maklumat lanjut berkaitan pelaksanaan, mekanisme sokongan dan kriteria permohonan akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta MRANTI.

Beliau berkata dana itu memberi tumpuan kepada teknologi tempatan yang telah mencapai sekurang-kurangnya Tahap Ketersediaan Teknologi (TRL) 7 dan Tahap Ketersediaan Pelanggan (CRL) 3, selain mempunyai bukti pengesahan pasaran seperti pelaksanaan projek rintis atau minat pelanggan yang disahkan.

"Program ini juga menyokong pembangunan projek, Pemecut Pengkomersialan Berstruktur (SCA) dan perkhidmatan inovasi bagi memastikan teknologi bukan sahaja kukuh secara teknikal tetapi juga bersedia dari segi komersial dan kawal selia," katanya.

Chang berkata pelaksanaan dana itu akan disokong oleh ekosistem inovasi bersepadu MRANTI sebagai rakan pelaksana utama melalui kerjasama strategik bersama agensi, industri dan rakan strategik.

Katanya ini bagi mempercepat pengkomersialan teknologi tempatan merentas sektor sosioekonomi utama di bawah Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE), termasuk teknologi peneraju seperti kecerdasan buatan, robotik, bioteknologi, nanoteknologi dan Internet Benda (IoT).

Beliau berkata inisiatif tersebut selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) serta Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara (RDICE) yang menekankan pendekatan berteraskan misi untuk menangani cabaran nasional termasuk keterjaminan makanan, kesihatan, tenaga bersih dan transformasi digital.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan