KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melalui anak syarikat milik penuhnya, PC Oman Ventures Ltd (PCOVL), menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan Oman dan OQ Exploration and Production Batinah Offshore LLC (OQEP) sebagai rakan kongsi penerokaan minyak dan gas di Blok 18.
Petronas berkata Blok 18 merupakan kawasan penerokaan luar pesisir yang besar terletak di timur laut Oman, merangkumi lebih 21,000 kilometer persegi dan menawarkan potensi penerokaan baharu yang ketara merentasi pelbagai keadaan geologi, daripada perairan cetek sehingga ke ultra dalam.
Ia menambah PCOVL telah aktif di Kesultanan Oman sejak 2018 dan kini memegang kepentingan dalam penyertaan di Blok 61.
“Setelah menandatangani perjanjian konsesi ini, PCOVL mengambil alih peranan sebagai operator Blok 18 dengan kerjasama OQEP,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Naib Presiden Aset Antarabangsa Mohd Redhani Abdul Rahman berkata melalui pendekatan penerokaan inovatif mereka dan kepakaran lembangan OQEP, pihaknya menyasarkan untuk bersama-sama membuka manfaat potensi Blok 18 dan menyumbang kepada sekuriti tenaga jangka panjang Oman.
“Penglibatan di Blok 18 adalah selaras dengan komitmen kami terhadap pengembangan portfolio yang berdisiplin, sekali gus menyediakan pilihan strategik merentasi portfolio antarabangsa kami,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial