AM

JBPM Kelantan Rekod Lebih 200 Kes Kebakaran Terbuka Sejak 1 Jan

12/02/2026 06:48 PM

KOTA BHARU, 12 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan 243 kes kebakaran terbuka sejak 1 Jan hingga 10 Feb lepas, kata Pengarahnya Farhan Sufyan Borhan.

Beliau berkata jumlah tersebut dilihat membimbangkan kerana sepanjang tahun lepas hanya 373 kes kebakaran terbuka dicatatkan termasuk kebun atau ladang, sampah, belukar dan hutan.

"Jumlah kebakaran terbuka ini dijangka terus meningkat berikutan keadaan cuaca panas dan peralihan monsun ketika ini," katanya pada sidang media selapas Majlis Perhimpunan Tahunan JBPM Kelantan di ibu pejabatnya di sini hari ini.

Farhan Sufyan berkata kes kebakaran terbuka tertinggi yang direkodkan melibatkan kebakaran belukar atau lalang sebanyak 195 kes, dikuti sampah (22), hutan (17), dan ladang atau kebun (sembilan).

"Jajahan paling banyak merekodkan kebakaran terbuka adalah Bachok dan Ketereh, Kota Bharu. Justeru, pihak kami akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku kebakaran terbuka oleh mana-mana individu atau pihak tertentu.

"Kami juga telah mengarahkan semua balai bomba di negeri ini untuk terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sebagai persediaan menghadapi peralihan monsun dan cuaca panas," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti enam jajahan yang menjadi “hotspot” berlaku kebakaran terbuka iaitu Bachok, Pasir Mas, Pasir Puteh, Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat.

"Bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku peningkatan kes akibat kebakaran terbuka, kita akan pastikan jentera serta peralatan sentiasa berada dalam keadaan baik dan siap sedia untuk digunakan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan