JENAYAH & MAHKAMAH

Ibu Zara Qairina Mohon Jadi Pihak Berkepentingan Dalam Semakan Kehakiman

12/02/2026 04:33 PM

KOTA KINABALU, 12 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 18 Mac depan untuk mendengar permohonan ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir menjadi pihak berkepentingan dalam semakan kehakiman yang difailkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membatalkan prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu itu.

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam Shahlan Jufri dan Rizwandean M Borhan memaklumkan mahkamah bahawa mereka telah memfailkan permohonan terbabit pada 23 Dis lepas, bagi pihak ibu Zara iaitu Noraidah Lamat.

Dalam permohonan itu yang disokong oleh afidavit, Noraidah selaku waris terdekat berkata dia mempunyai kepentingan langsung dan ketara dalam prosiding dijalankan serta hasil inkues termasuk penemuannya.

Noraidah menyatakan bahawa pemohon, Presiden Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) tidak mempunyai sebarang kepentingan langsung dalam prosiding inkues dan pembatalan inkues itu akan menjejaskan hak statutorinya untuk memperoleh penyiasatan yang menyeluruh, sah dan sewajarnya mengenai punca kematian.

Pada 21 Nov 2025, Pembela memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya membatalkan keseluruhan inkues atas alasan ia dijalankan di bawah Kanun Tatacara Jenayah Persekutuan dan bukannya mengikut Ordinan Inkues 1959.

NGO itu berhujah bahawa undang-undang Sabah yang khusus menyediakan jaminan prosedur dan wajar diguna pakai dalam inkues berkenaan serta memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Ordinan Inkues 1959 sebagai undang-undang terpakai dan mengetepikan prosiding yang sedang berlangsung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan