MELAKA, 12 Feb (Bernama) -- Kadar zakat fitrah di Melaka tahun ini ditetapkan kepada tiga kategori iaitu RM8, RM15 dan RM22 selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.
Beliau berkata hanya kadar zakat fitrah paling rendah iaitu RM8 dinaikkan RM1 berbanding RM7 pada tahun lepas, manakala dua lagi kadar zakat fitrah dikekalkan.
"Kadar ini juga mengikut kategori pengguna beras iaitu jenis Super Special Tempatan, Super Special Import dan basmati.
"Selain bayaran secara tunai melalui amil bertauliah, Zakat Melaka turut menyediakan pelbagai saluran pembayaran termasuk bayaran dalam talian menerusi laman web rasmi www.izakat.com, Portal MelakaPay serta aplikasi mudah alih MelakaPay," katanya kepada pemberita di di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah Melaka 2026 dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Zohaime Muhamad Sori.
Rahmad berkata pada tahun ini, kerajaan negeri menetapkan sasaran kutipan zakat fitrah sebanyak RM6.9 juta berbanding RM6.6 juta tahun lepas.
Beliau berkata sebanyak 1,047 orang telah ditauliahkan sebagai amil tahun ini bagi memastikan urusan kutipan zakat berjalan dengan lancar.
Menurut Rahmad, sempena Ramadan dan Syawal, Kerajaan Negeri Melaka melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan melaksanakan agihan zakat dan bantuan kepada golongan yang layak.
"Sebanyak 85 asnaf fakir dan 8,516 asnaf miskin akan menerima Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal 2026, manakala 2,300 asnaf mualaf akan disantuni melalui pengagihan khas," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial