AM

SK Batu Laut Terima Kemudahan Baharu PPKI Menerusi Inisiatif Sekolah Angkat MADANI

12/02/2026 02:19 PM

KUALA LANGAT, 12 Feb (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Laut di sini menerima kemudahan baharu bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) melibatkan pembesaran dan penaiktarafan bilik darjah.

Sebelum ini bilik darjah berkeluasan 20x20 kaki persegi itu terpaksa dibahagikan kepada dua ruang untuk menempatkan murid Tahap Satu dan Tahap Dua kelas PPKI.

Projek pembesaran dan penaiktarafan itu dilaksanakan menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI di SK Batu Laut yang dilancarkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini.

Guru Besar sekolah itu, Fadhlah Afif Talib, 42, berkata ruang pembelajaran yang sempit dan kurang kondusif menyebabkan murid pendidikan khas terdiri daripada pelbagai kategori termasuk autisme, masalah pembelajaran dan disleksia belajar dalam keadaan tidak selesa.

“Dengan adanya bilik baharu berkeluasan 30x20 kaki persegi, murid kini dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa, seterusnya memberi kesan positif dari segi tumpuan dan perkembangan mereka,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran Sekolah Angkat MADANI itu.

PPKI SK Batu Laut menempatkan 25 murid berusia antara tujuh hingga 13 tahun.

Fadhlah Afif berkata selain PPKI, bilik darjah Tahun Dua turut menikmati kemudahan pembelajaran lebih selesa susulan kerja penaiktarafan kelas dengan melibatkan pembaikan lantai yang pecah, pemasangan semula kipas, penambahbaikan sistem pencahayaan, kerja mengecat serta pemasangan cermin tingkap baharu.

“Saya mewakili guru-guru SK Batu Laut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak KSN atas inisiatif ini yang semestinya memanfaatkan warga sekolah, menambah keselesaan dan keseronokan bagi kesemua 427 murid,” katanya yang berkhidmat sebagai guru besar sekolah itu sejak dua tahun lepas.

Inisiatif Sekolah Angkat MADANI itu merupakan susulan lawatan Shamsul Azri ke sekolah berkenaan pada Disember 2024 dan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan pendidikan di sekolah luar bandar sentiasa dipertingkatkan.

Shamsul Azri dengan diiringi Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad turut meluangkan masa hampir satu jam bersama warga sekolah dan beramah mesra dengan murid.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan