PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Bekas setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka dan isterinya direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkaitan rasuah.
Perintah reman hingga 16 Feb ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Siasatan akan dijalankan membabitkan dakwaan meminta dan menerima suapan kira-kira RM3 juta sebagai balasan membantu syarikat dilantik sebagai konsesi projek penambakan laut di sekitar Melaka.
Media melaporkan, pasangan suami isteri itu ditahan pada 2 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Siasatan awal SPRM mendapati suspek yang bergelar Datuk Wira itu dipercayai melakukan perbuatan terbabit antara Februari hingga November 2021.
Hasil siasatan turut mendapati wang rasuah berkenaan dipercayai digunakan untuk membeli seunit kondominium di sekitar Lembah Klang.
Terdahulu, pasangan suami isteri itu tiba di pekarangan Mahkamah Putrajaya kira-kira 9.10 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM dan kes disiasat di bawah Seksyen 16a(A) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial