AM

Intervensi Strategik KESUMA Perkukuh Pasaran Buruh Negara

12/02/2026 09:52 AM

PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Pendekatan menyeluruh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam pembangunan bakat, perlindungan sosial dan reformasi pasaran buruh telah menyumbang secara langsung kepada penurunan kadar pengangguran dan peningkatan penyertaan tenaga buruh negara.

Merujuk kepada statistik Jabatan Perangkaan mengenai kadar pengangguran yang menurun kepada 2.9 peratus bagi suku tahun keempat 2025, menurut KESUMA pencapaian itu membuktikan bahawa dasar dan inisiatif tenaga kerja yang dilaksanakan secara konsisten telah menghasilkan impak yang terukur, inklusif dan mampan kepada pasaran buruh Malaysia.

“Lebih membanggakan, kadar penyertaan tenaga buruh wanita mencatat rekod tertinggi, iaitu 56.6 peratus, menandakan peningkatan signifikan penglibatan wanita dalam ekonomi negara.

“Pencapaian ini selari dengan pelaksanaan inisiatif strategik KESUMA melalui TalentCorp yang memperkukuh program sokongan penyertaan wanita, termasuk inisiatif pemudah cara kembali bekerja, program mobiliti bakat serta kerjasama industri bagi menyediakan persekitaran kerja yang lebih inklusif dan fleksibel,” menurut kenyataan KESUMA hari ini.

Dalam aspek kualiti pekerjaan, KESUMA memaklumkan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa kekal rendah kira-kira 1.3 peratus, manakala guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran menurun kepada 35.3 peratus, mencerminkan penambahbaikan dalam padanan kemahiran dan pekerjaan.

Perkara itu selari dengan revolusi dan pengukuhan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan  Vokasional (TVET), latihan berfokus industri dan kesepadanan kemahiran tenaga kerja dengan keperluan industri di bawah Jabatan Tenaga Manusia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Selain itu, jaringan perlindungan sosial dan mobiliti tenaga kerja turut diperkukuh melalui pengenalan Skim Lindung 24 Jam dan Skim Lindung Kerjaya oleh Perkeso, yang diperkasakan lagi dengan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum RM1,700 yang memanfaatkan 4.4 juta pekerja, selain sokongan Dasar Gaji Progresif yang melonjakkan gaji median negara menghampiri RM3,000.

DOSM dalam kenyataan semalam memaklumkan pada suku tahun keempat 2025, kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus, manakala kadar penyertaan tenaga buruh wanita mencapai rekod tertinggi sebanyak 56.6 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan