AM

Ahmad Zahid Mahu MJII Jadi Platform Strategik Kerjasama MARA-Jepun

11/02/2026 11:48 PM

LANGKAWI, 11 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya MARA-Institut Industri Jepun (MJII) diperkasakan sebagai platform strategik bagi memperkukuh kerjasama antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan industri Jepun.

Beliau berkata, penyertaan syarikat Jepun yang lebih kukuh dan tersusun mampu menjadikan MJII sebagai saluran utama pembangunan bakat, dengan rakan industri terbabit secara langsung dalam latihan, bimbingan serta pengambilan graduan untuk diserap ke dalam operasi masing-masing.

“Malaysia komited memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai tonggak utama pembangunan negara.

“Melalui MARA dan institusi lain, kita bukan sahaja mahu melahirkan tenaga kerja mahir, tetapi juga teknousahawan — golongan muda yang mampu mencipta perniagaan, membangunkan teknologi dan membuka peluang pekerjaan.

“Jepun dengan kekuatan dalam kejuruteraan presisi, automasi dan inovasi hijau adalah rakan semula jadi dalam perjalanan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-OISCA Ke-7 2026 di sini, malam ini.

Beliau berkata teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), automasi serta industri hijau kini membentuk semula landskap pengeluaran, perdagangan dan kehidupan masyarakat. Justeru, dalam persekitaran baharu ini, sumber asli semata-mata tidak lagi mencukupi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kekayaan sebenar sesebuah negara terletak pada rakyatnya — kemahiran, kreativiti serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Di sinilah lembaran baharu kerjasama Malaysia–Jepun perlu diterokai. Kita mesti melangkaui pembuatan tradisional kepada bidang seperti pembuatan pintar dan berteknologi tinggi, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui, inovasi digital dan automasi, AI serta robotik, selain industri desa mampan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama antara MARA dan Pertubuhan Kemajuan Industri, Kerohanian dan Budaya Antarabangsa (OISCA) adalah antara contoh terbaik bagaimana diplomasi diterjemahkan kepada pembangunan modal insan.

Katanya sejak penubuhannya, lebih 1,000 belia Malaysia menjalani latihan industri di Jepun, manakala lebih 3,000 lagi menerima manfaat menerusi program kemahiran dalam negara.

“Lebih membanggakan, kira-kira 70 peratus daripada peserta latihan ini berjaya memperoleh pekerjaan dalam sektor swasta, termasuk di syarikat multinasional Jepun,” katanya.

Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-OISCA Ke-7 2026 bertemakan ‘Cultivating Trust, Nurturing Sustainability’ menghimpunkan pemimpin kerajaan, kapten industri, diplomat, ahli akademik, usahawan serta rakan antarabangsa, khususnya dari Jepun, bagi membincangkan kerjasama strategik, pembangunan mampan serta masa depan modal insan dan daya saing ekonomi Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan