PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Dakwaan bahawa projek MyKiosk sebagai “gajah putih” adalah tidak tepat susulan ia telah berjaya membantu meningkatkan pendapatan lebih 7,000 keluarga penjaja kecil di seluruh negara.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan semakan dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati hingga Julai 2025, kadar pengisian MyKiosk 1.0 telah mencapai 91.75 peratus, manakala MyKiosk 2.0 pula mencapai 86.78 peratus.
“Inisiatif ini juga telah berjaya membantu meningkatkan pendapatan lebih 7,000 keluarga penjaja kecil di seluruh negara dengan rekod kejayaan peniaga meraih pendapatan hingga RM30,000 sebulan,” menurut kenyataan itu.
Berhubung syor penambahbaikan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung inisiatif MyKiosk, KPKT menyambut baik laporan berkenaan dan mendukung syor suruhanjaya itu untuk memantapkan tatakelola, khususnya dalam aspek kajian keperluan dan pemantauan bagi memastikan keberkesanan projek jangka panjang.
SPRM semalam mengemukakan lima syor penambahbaikan tatakelola kepada KPKT, merangkumi pelaksanaan kajian keperluan menyeluruh termasuk penilaian kebolehlaksanaan dan impak ekonomi, meningkatkan keberhasilan projek MyKiosk MADANI dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta menubuhkan unit pemantauan atau jawatankuasa khas bagi menilai keberkesanan dan pencapaian projek.
Dua cadangan lain termasuk penambahbaikan Garis Panduan Inisiatif MyKiosk MADANI dan mewujudkan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan di bawah peruntukan Persekutuan yang lengkap sebagai rujukan operasi.
KPKT dalam pada itu menjelaskan bahawa walaupun dasar dan peruntukan disalurkan di peringkat Persekutuan, PBT bertindak sebagai agensi pelaksana utama yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam menentukan lokasi yang strategik, melantik peniaga yang layak dan menyelenggara fasiliti MyKiosk.
“Laporan SPRM telah mengenal pasti kelemahan di peringkat ini, khususnya ketiadaan mekanisme pemantauan yang seragam yang menjejaskan penilaian impak projek.
“Susulan itu, KPKT telah mewajibkan PBT melaksanakan kajian menyeluruh sebelum pemasangan kiosk untuk memastikan lokasi mempunyai permintaan pasaran yang tinggi, sekali gus dapat menjamin kelangsungan perniagaan melalui garis panduan baharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT),” menurut KPKT.
Kenyataan itu memaklumkan prestasi PBT akan dinilai melalui sistem “lampu isyarat”, iaitu PBT yang gagal mencapai KPI pengisian dan pengoperasian (status merah) berdepan tindakan pembatalan peruntukan, manakala PBT cemerlang (status hijau) akan menerima insentif tambahan.
Selain itu, PBT turut disaran memindahkan unit kiosk yang kurang sambutan ke lokasi yang lebih tumpuan orang ramai bagi mengoptimumkan penggunaan aset.
“Sebagai langkah proaktif menangani isu kesesuaian lokasi, KPKT juga telah memperluaskan inisiatif ini ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui initiatif Mykiosk@Kampus sebagai menyokong agenda keusahawanan siswa atau belia di kampus,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial