MELAKA, 11 Feb (Bernama) -- Kerajaan sentiasa terbuka terhadap kritikan konstruktif kerana pendekatan seperti itu terbukti banyak membantu dalam penambahbaikan dasar, termasuk inisiatif pendidikan percuma kepada kumpulan pelajar tertentu yang sedang dilaksanakan ketika ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata keterbukaan itu telah membawa impak positif, antaranya langkah kerajaan menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar daripada golongan B40 dan orang kurang upaya (OKU) yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
“Seramai 10,000 pelajar B40 kini mendapat pendidikan percuma dan kira-kira 3,000 pelajar OKU juga bakal menerima manfaat yang sama.
“Ini adalah pencapaian yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini, namun perkara ini jarang diketengahkan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Pembinaan Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Ayer Keroh di sini hari ini.
Mengenai isu sekatan perjalanan terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang culas, Adam Adli berkata kerajaan pada hari ini tidak mengamalkan pendekatan pukul rata atau blanket policy seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Kita tidak setuju untuk menyekat semua peminjam kerana sebelum sebarang sekatan dikenakan, kerajaan akan menilai kedudukan kewangan, pekerjaan dan kemampuan peminjam. Sekatan hanya melibatkan kira-kira 0.7 peratus peminjam culas yang mempunyai pendapatan tinggi, berkemampuan membayar tetapi langsung tidak mahu berunding.
“Kita juga mengutamakan rundingan serta bantuan bagi memastikan mereka mampu melunaskan pinjaman kerana kita tidak boleh menghukum peminjam yang berhutang semata-mata untuk belajar. Prinsip itu kekal dan sebab itu kita sentiasa mencari jalan untuk membantu, bukan menekan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya.
Terdahulu pada majlis berkenaan, beliau menyampaikan cek cura berjumlah RM1 juta bagi pembinaan sebuah dewan terbuka untuk kegunaan lebih 800 murid dan warga sekolah berkenaan dengan jangkaan siap dalam tempoh 48 minggu.
Adam Adli berkata dewan terbuka tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan pentas, sistem audio, tandas serta bilik persalinan bagi melancarkan aktiviti kokurikulum dan kurikulum murid di sekolah berkenaan.
"Projek ini di bawah kendalian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Melaka dan merupakan antara usaha memperkukuhkan prasarana sekolah demi keselesaan dan manfaat jangka panjang warga sekolah," katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial