JENAYAH & MAHKAMAH

Enam Pegawai PBT, Seorang Bekas Pegawai Ditahan SPRM

11/02/2026 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam pegawai dan seorang bekas pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor kerana disyaki terlibat dengan rasuah sebagai balasan mempercepat urusan permohonan dan memperbaharui lesen perniagaan.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an itu ditahan antara 10 pagi hingga 12 tengah hari di sekitar Lembah Klang, semalam.

Katanya kesemua mereka disyaki menerima antara RM500 hingga RM15,000 daripada pemilik syarikat perniagaan, selain melindungi syarikat-syarikat tertentu daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara 2019 hingga 2023.

“Kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM500 hingga RM15,000 setiap bulan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing daripada dua pemilik syarikat,” katanya.

Sumber itu berkata perintah reman selama empat hari sehingga 14 Feb ini terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi. 

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan