JENAYAH & MAHKAMAH

Buang Puntung Rokok Di Tempat Awam, Buruh Didenda RM1,500

11/02/2026 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Seorang buruh didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam, bulan lepas.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Ajmal Haziq Zulkarnain, 30, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani khidmat masyarakat selama empat jam dalam tempoh sebulan.

Lelaki itu didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam atau jalan awam dan bukan dalam bekas yang diperuntukkan bagi membuang sisa pepejal tersebut, di hadapan sebuah restoran di Bukit Bintang di sini, pada 10.39 malam, 1 Jan 2026.

Pertuduhan mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 dan sebagai tambahan, boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh maksimum enam bulan dan selama bilangan jam tertentu setiap hari tidak melebihi empat jam sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), A'ala Shah Md Yusop memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan orang awam tentang kepentingan menjaga kebersihan di tempat awam.

Bagaimanapun, Ajmal Haziq yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan selain mengakui kesalahan dilakukannya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan