AM

Sidec Tingkat Tumpuan Pada Kecerdasan Buatan Fizikal

10/02/2026 07:01 PM

SHAH ALAM,10  Feb (Bernama) -- Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) meningkatkan tumpuannya terhadap Kecerdasan Buatan (AI) fizikal tahun ini merentasi sektor automotif, robotik dan mobiliti pintar generasi akan datang, dengan penekanan kepada ekonomi altitud rendah.

Sidec dalam satu kenyataan berkata komponen utama inisiatif itu ialah pembangunan System-on-Chip (AI-SoC) canggih AI, platform 3-dalam-1 serba boleh yang direka untuk menyokong penggunaan automotif, robotik dan dron.

Agensi Kerajaan Negeri Selangor itu berkata kerjasama tersebut akan mengutamakan penyelesaian pelepasan rendah karbon dan mobiliti masa depan, termasuk teknologi pemanduan tanpa pemandu, platform kenderaan elektrik (EV), dron dan sistem berlepas dan mendarat secara menegak menggunakan kuasa elektrik (eVTOL).

"Inisiatif ini akan dilaksanakan sambil memacu pembangunan bakat yang sedia untuk industri, penyelidikan gunaan dan inovasi untuk mempercepatkan penerimagunaan komersial," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Sidec, Yong Kai Ping berkata kerajaan sedang berusaha mewujudkan tapak uji dan sandbox untuk kenderaan tanpa pemandu, termasuk robotaxis dan pengangkutan komersial tanpa pemandu, dan akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menyokong pelaksanaannya.

Beliau berkata lokasi sandbox yang sesuai telah dikenal pasti untuk penggunaan secara berperingkat.

“Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia dan Indian Institute of Technology Madras akan bekerjasama untuk membangunkan perancangan bakat dalam reka bentuk semikonduktor dan litar bersepadu (IC), sejajar dengan keperluan industri automotif, robotik dan mobiliti pintar yang semakin berkembang,” katanya.

Sidec memaklumkan sejak penubuhannya, agensi itu telah menyokong dan membimbing lebih 380 syarikat melalui program komprehensif yang menyediakan akses kepada pembiayaan, rangkaian strategik, bimbingan, peluang pasaran dan sokongan ekosistem jangka panjang.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Selangor Ng Sze Han turut menekankan pengukuhan berterusan inisiatif pemecut Sidec, termasuk pengenalan program Pemecut Triple X, Retail-X, Deep-X dan Token-X.

Beliau berkata inisiatif itu menunjukkan bahawa Sidec memahami pelbagai keperluan perniagaan yang beroperasi di peringkat pertumbuhan berbeza dan merentasi pelbagai bidang teknologi baharu, bagi memastikan sokongan yang lebih bersasar dan berimpak.

“Selain syarikat pemula niaga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sidec juga mengambil langkah strategik untuk berkembang ke sektor semikonduktor, tonggak penting ekonomi digital global,” katanya.

Beliau berkata dengan penubuhan dua Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia di Puchong dan Cyberjaya, Sidec sedang memperkukuh kedudukan Selangor dalam rantaian nilai semikonduktor.

"Kini terdapat 15 syarikat yang ditempatkan di kedua-dua taman itu yang menjana peluang pekerjaan bagi 261 jurutera, sekali gus menunjukkan kemajuan ketara dalam penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pembangunan bakat dan penyertaan industri," katanya.

Ng berkata inisiatif itu selaras dengan Strategi Semikonduktor Kebangsaan dan menyokong pembangunan jangka panjang keupayaan teknologi Selangor.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan