AM

NRES Tubuh Pasukan Petugas Khas Perkasa Penguatkuasaan, Tadbir Urus Alam Sekitar

10/02/2026 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) --  Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi memperkukuh tadbir urus dan kecekapan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di negara ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata langkah itu juga bertujuan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Alam Sekitar (JAS) agar lebih responsif dan berimpak tinggi.

Berhubung penahanan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah jabatan di bawah NRES oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, Arthur memberi komitmen kementerian untuk bekerjasama penuh dalam siasatan itu.

“Kita memegang prinsip integriti, tadbir urus yang baik dan kebertanggungjawapan sebagai keutamaan. Segala bentuk salah guna kuasa atau amalan rasuah tidak akan dikompromi dan tindakan susulan peringkat dalaman akan diambil selaras dengan peraturan pegawai awam jika diperlukan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin tahu langkah kementerian bagi menjamin integriti perkhidmatan susulan penahanan pegawai tertinggi jabatan itu.

Selain itu, Arthur berkata pihaknya sedang berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara untuk menambah pengisian jawatan, khususnya pada peringkat penguatkuasaan bagi memperkasakan operasi JAS.

Menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai faktor kerajaan mengharamkan pengimportan e-sisa atau e-waste berkuat kuasa 4 Feb, Arthur berkata Malaysia tidak pernah membenarkan pengimportan sisa elektronik.

Beliau berkata NRES komited memulangkan semula sisa dibawa masuk secara haram ke negara asal, selaras dengan komitmen di bawah Konvensyen Basel, dengan 428 daripada 701 kontena yang dikesan mengandungi e-sisa berjaya dipulangkan dalam tempoh antara 2021 hingga 2025.

“Secara keseluruhan, sebanyak 1,241 kontena telah diperiksa oleh pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan JAS dalam tempoh itu.

“Sekiranya pemulangan tidak dapat dilaksanakan walaupun selepas segala usaha telah dilakukan, barulah e-waste itu akan diurus dan dilupuskan secara selamat melalui kaedah Environmentally Sound Management (ESM) di fasiliti selamat dan berlesen dalam negara yang diiktiraf JAS,” katanya.

Berhubung tindakan terhadap premis yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-sisa secara haram, Arthur berkata sebanyak 85 kes telah diambil tindakan menerusi operasi bersepadu Ops Hazard 1 dan 2. 

Beliau berkata operasi itu menyaksikan 21 premis dikompaun manakala 64 diambil tindakan untuk pendakwaan di mahkamah dengan 11 kes telah selesai pada peringkat mahkamah setakat ini.

“Kita juga mengambil langkah menutup kilang haram dan membawa pengoperasinya ke mahkamah dengan kerjasama dan melibatkan kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis.

“...tindakan penutupan premis dilaksanakan PBT menggunakan kuasa diperuntukkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, khususnya berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan premis. 

“Kementerian melalui JAS akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik ini bagi membanteras kewujudan dan operasi kilang haram yang memproses e-sisa di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan