KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Bank pelaburan kekal positif terhadap prospek sektor pembuatan Malaysia pada 2026, dengan menyifatkan permintaan domestik yang berdaya tahan, ketidakpastian tarif yang semakin berkurangan dan aktiviti pelaburan yang stabil sebagai faktor utama yang menyokong pertumbuhan.
RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) dalam laporan Economics View hari ini berkata unjuran Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) bagi 2026 berada pada 4.1 peratus, berbanding 3.6 peratus pada 2025.
“Data IPI terkini yang kukuh bersama prestasi eksport yang mantap dan bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan yang kuat, mengukuhkan lagi prospek optimis kami.
“Sektor pembuatan dijangka dipacu oleh daya tahan permintaan luaran di tengah-tengah prospek ekonomi serantau yang menggalakkan dan risiko tarif yang berkurangan, penggunaan swasta domestik dan aktiviti perniagaan yang terus kukuh, di samping dasar kerajaan yang menyokong,” katanya.
Sehubungan itu, RHB IB berkata permintaan domestik yang kukuh dijangka terus menyokong aktiviti perindustrian pada 2026, dicetuskan oleh penggunaan swasta dan pelaburan yang stabil.
“Perbelanjaan isi rumah mungkin kekal berdaya tahan, dipacu oleh pertumbuhan pendapatan yang mampan dan keyakinan dalam pasaran pekerjaan.
“Momentum ini akan diperkukuh oleh langkah-langkah kerajaan yang berterusan untuk meningkatkan kuasa beli isi rumah, termasuk subsidi bersasar dan program perlindungan sosial,” katanya.
Bank pelaburan itu berkata dasar yang menggalakkan pengeluar tempatan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga dijangka memperkukuh rantaian bekalan domestik dan merangsang aktiviti ekonomi.
“Selain itu, insentif bersasar akan menyokong sektor-sektor berimpak tinggi seperti farmaseutikal, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan kemampanan,” katanya.
RHB IB berkata industri berorientasikan eksport berpotensi mendapat manfaat daripada prospek permintaan luaran yang positif, disokong oleh peningkatan aktiviti global, permintaan elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh dan pengurangan risiko tarif.
“Persekitaran yang menggalakkan pada 2026 mungkin akan meningkatkan prestasi industri berorientasikan eksport, terutamanya dalam sektor-sektor utama seperti E&E, jentera dan komoditi, memandangkan permintaan serantau yang lebih kukuh mengekalkan momentum perdagangan serta menyokong asas eksport negara yang pelbagai.”
“Kitaran menaik teknologi global akan terus mengukuhkan kluster E&E, dipacu oleh permintaan yang tinggi terhadap cip semikonduktor yang digunakan dalam aplikasi AI dan pendigitalan,” katanya.
Ia berkata penyelesaian perjanjian perdagangan timbal balas Amerika Syarikat (AS)-Malaysia telah meningkatkan prospek perdagangan Malaysia secara material dan memberikan sokongan lebih kukuh terhadap momentum perdagangan dan pembuatan negara.
Dalam hal ini, RHB IB berkata walaupun mempunyai pandangan yang optimis, ia tetap menyedari tentang risiko penurunan yang mungkin timbul daripada rakan dagang utama, termasuk kemungkinan permintaan di Kesatuan Eropah (EU) dan China yang lembap, yang boleh menjejaskan permintaan luaran.
“Risiko tambahan termasuk perubahan dalam dasar perdagangan AS, dinamik perdagangan serantau yang berkembang dan potensi memperkenalkan levi khusus sektor, terutamanya ke atas semikonduktor,” katanya.
Prospek positif itu disokong oleh data terkini, dengan MBSB Investment Bank Bhd menyatakan pertumbuhan IPI Malaysia meningkat kepada 4.8 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada Disember 2025.
“Walaupun pertumbuhan ini sedikit di bawah anggaran iaitu 5.0 peratus y-o-y, pertumbuhan yang lebih kukuh sebenarnya dijangka berdasarkan prestasi eksport yang lebih baik pada Disember 2025,” katanya dalam nota penyelidikan.
MBSB Investment berkata pengembangan itu didorong oleh pengeluaran sektor pembuatan yang lebih kukuh, meningkat 6.7 peratus y-o-y pada Disember 2025 daripada 4.9 peratus pada November, disokong oleh pengeluaran produk berorientasikan eksport yang lebih tinggi seperti E&E, komputer dan perkakasan komputer, jentera dan peralatan, serta produk makanan, logam asas dan kenderaan bermotor.
“Penjanaan tenaga elektrik juga meningkat lebih pantas, berkembang 3.7 peratus y-o-y pada Disember 2025 berbanding 2.7 peratus pada November, menandakan pertumbuhan terpantas sejak November 2024 dan mencerminkan penggunaan tenaga yang lebih tinggi,” katanya.
Bank pelaburan itu berkata prestasi perdagangan luar yang berdaya tahan dan permintaan domestik yang mampan pada penghujung 2025 dijangka terus menyokong pengeluaran dalam sektor-sektor yang berkaitan dengan pengguna dan berorientasikan eksport, terutamanya sektor E&E di tengah-tengah kitaran menaik teknologi global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial