EKONOMI

Maybank, CGC Perkenal Jaminan Portfolio RM1 Bilion Untuk PKS

09/02/2026 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) hari ini memperkenalkan tranche baharu bernilai RM1 bilion di bawah skim Jaminan Portfolio (PG) bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan memperluas akses pembiayaan merentasi pelbagai peringkat pertumbuhan perniagaan.

Dalam kenyataan hari ini, Maybank memaklumkan inisiatif itu mencerminkan tumpuan berterusannya untuk memastikan akses pembiayaan diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi sebenar, di samping mempermudah dan meluaskan kebolehcapaian PKS untuk mendapatkan dana bagi pengembangan serta pelaburan perniagaan.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen baharu RM1 bilion itu, Maybank akan memperkenalkan skim pembiayaan mampan PG/-Islamik khusus untuk PKS yang secara proaktif telah beralih kepada amalan operasi perniagaan yang lebih mampan.

“Skim ini menyokong perniagaan yang sedang menunjukkan kemajuan, dengan mengiktiraf bahawa kemampanan merupakan satu perjalanan, sambil menggalakkan penambahbaikan berterusan yang memberikan hasil positif untuk perniagaan, komuniti dan alam sekitar,” katanya.

Maybank turut memaklumkan bahawa pembiayaan bagi keperluan perniagaan lain juga ditawarkan di bawah pelbagai skim pembiayaan PG, termasuk modal kerja, pengembangan perniagaan dan rantaian bekalan, dengan jumlah pembiayaan antara RM10,000 hingga RM1.5 juta.

Menurut bank itu, PKS boleh memohon pelbagai skim melalui Maybank2u menerusi platform pembiayaan digital PKS miliknya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Maybank Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata kerjasama yang diperluaskan dengan CGC bukan sahaja menyediakan pembiayaan, malah membolehkan PKS melabur dengan lebih yakin, meningkatkan skala operasi serta membina perniagaan yang mampan untuk jangka panjang. 

“Matlamat kami adalah untuk memperluas akses pembiayaan kepada lebih banyak PKS, di samping menyokong lebih ramai usahawan di seluruh negara melalui penyelesaian yang melangkaui perkhidmatan perbankan semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan CEO CGC Mohamed Nazri Omar berkata tranche jaminan portfolio RM1 bilion itu mencerminkan tumpuan CGC dalam menyalurkan sokongan jaminan secara lebih terancang dan bersasar, selaras dengan hala tuju strategik baharu lima tahun syarikat berkenaan.

“Dengan menyelaraskan jaminan portfolio merentasi keutamaan pembiayaan utama, termasuk modal kerja, akses digital, peralihan kemampanan dan ekosistem rantaian bekalan, CGC dan Maybank menyokong PKS pada peringkat pembangunan yang berbeza melalui penyelesaian pembiayaan yang disasarkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Maybank dan CGC telah menyokong PKS menerusi skim pembiayaan PG/-i sejak 2013.

“Sehingga Januari 2026, kerjasama ini telah membantu lebih 35,000 PKS, khususnya daripada segmen mikro-PKS, dengan jumlah komitmen pembiayaan melebihi RM11.8 bilion merangkumi 85 tranche,” menurutnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan