AM

Peniaga Bazar Diingat Ambil Suntikan Tifoid, Jaga Kebersihan

08/02/2026 10:50 AM

SEREMBAN, 8 Feb (Bernama) -- Semua peniaga makanan di Negeri Sembilan, khususnya di bazar Ramadan diingatkan tidak mengambil ringan aspek keselamatan makanan dan mengambil suntikan tifoid serta mematuhi standard kebersihan tinggi ketika menyediakan juadah jualan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata kegagalan mematuhi keperluan kesihatan asas bukan sahaja melanggar peraturan malah boleh membahayakan kesihatan awam.

Beliau berkata suntikan tifoid merupakan benteng awal bagi mencegah penularan bakteria berbahaya yang boleh mencemari makanan dan minuman sekali gus menyebabkan jangkitan serius kepada pengguna.

“Kegagalan pengusaha makanan mendapatkan suntikan itu dan tidak menjaga kebersihan berhadapan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Saya percaya peniaga sudah mengetahui syarat mewajibkan mereka mengambil suntikan tifoid sebelum memulakan perniagaan makanan termasuk mereka yang berniaga di bazar Ramadan,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas Program Pembersihan Persekitaran Pasar Ampangan bersama Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang turut dihadiri Datuk Bandar MBS Datuk Masri Baharuddin.

Sementara itu, Masri berkata tindakan kompaun termasuk penutupan premis akan dikenakan terhadap peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di bawah pentadbiran MBS yang gagal menjaga kebersihan tapak perniagaan.

“Kita amat bertegas dengan hal kebersihan dan kesihatan awam. Makanan yang tidak habis dijual jangan dibuang merata sebaliknya salurkan ke tempat sesuai termasuk bersedekah jika masih elok,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Masri berkata peniaga yang belum mendapat pulangan wang daripada penganjur Bazar Aidilfitri Dataran Senawang dinasihatkan membuat laporan polis dan menyerahkan dokumen berkaitan kepada MBS untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata jika penganjur enggan membayar semula wang terlibat, MBS akan menggunakan deposit pihak berkenaan untuk dibayar kepada peniaga.

MBS mengambil alih sepenuhnya pengurusan Bazar Aidilfitri di Dataran Senawang tahun ini selepas membatalkan pelantikan empat penganjur kerana gagal memenuhi syarat ditetapkan, manakala seorang lagi menarik diri disebabkan tidak mampu menguruskan bazar dengan baik.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan