AM

Chow Minta Isu Kesesakan LTAPP Diberi Perhatian Segera, Beri Kesan Kepada TMM2026

07/02/2026 08:27 PM

NIBONG TEBAL, 7 Feb (Bernama) -- Isu kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang berlaku baru-baru ini wajar diberi perhatian segera oleh pihak berkaitan bagi memastikan kelancaran pengurusan penumpang dan mengekalkan imej negeri ini sebagai destinasi pelancongan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kesesakan berkenaan dikaitkan dengan sistem baharu yang masih dalam fasa penyesuaian, selain ketibaan penerbangan dalam tempoh hampir serentak.

“Kelewatan memproses penumpang penerbangan awal boleh memberi kesan apabila beberapa penerbangan tiba serentak, sekali gus menyebabkan kesesakan seperti yang dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Nibong Tebal (NTF) 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa H'ng Mooi Lye dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.

Chow berkata isu tersebut memerlukan perhatian pihak berkaitan termasuk Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) serta agensi yang bertanggungjawab mengurus kawalan sempadan bagi memastikan proses ketibaan berjalan lebih lancar.

Beliau berkata kelancaran operasi di pintu masuk utama negara penting memandangkan negara sedang giat mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, justeru penambahbaikan berterusan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang kesan terhadap keyakinan pelawat ke Malaysia dan Pulau Pinang.

Sebelum ini media melaporkan kesesakan luar biasa di Balai Ketibaan Antarabangsa LTAPP susulan peningkatan mendadak jumlah penerbangan serta jadual ketibaan yang terlalu rapat, termasuk penambahan penerbangan antarabangsa.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Pulau Pinang memaklumkan semua kaunter pemeriksaan telah diaktifkan, namun ketibaan serentak beberapa penerbangan menyebabkan kesesakan masih berlaku, dengan langkah penambahbaikan sedang dibincangkan bersama pihak berkaitan. 

Mengenai penganjuran NTF, Chow berkata program itu antara inisiatif penting dalam usaha menaik taraf Seberang Perai melalui pembangunan berteraskan ekonomi kreatif, warisan dan budaya. 

Beliau berkata pembangunan infrastruktur fizikal perlu diimbangi dengan pemerkasaan khazanah sejarah, seni budaya serta identiti komuniti yang terdapat di kawasan-kawasan tradisional di Seberang Perai.

“Banyak khazanah sejarah dan warisan berada di kampung-kampung kita seperti di Sungai Aceh, Sungai Bakap, Sungai Perai, Sungai Kerian dan Sungai Muda serta kajian terperinci mengenai potensi kawasan telah dijalankan oleh Think City bersama MBSP dengan tumpuan kepada pembangunan warisan dan ekonomi kreatif sebagai pemangkin pelancongan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan