JENAYAH & MAHKAMAH

Pekerja Bangladesh Maut Dihempap Kren Kawalan Jauh

07/02/2026 12:00 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Seorang pekerja Bangladesh maut selepas dihempap sebuah kren jenis spider lift dikendalikannya di Jalan Perak, di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian berlaku pada 10.40 malam semasa lelaki berusia 32 tahun itu melakukan kerja pembaikan papan tanda bangunan di bahu jalan.

“Siasatan awal mendapati kren yang dikendalikan menggunakan alat kawalan jauh dipercayai terlanggar tebing kaki lima sebelum hilang imbangan lalu terbalik.

“Kren itu menghempap mangsa dan dua kenderaan berhampiran, iaitu Proton Persona dan BMW 523i,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata pengendali kren disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan manakala pemandu dan penumpang dua kenderaan terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti syarikat pemilik kren kontraktor terlibat, menyemak permit kebenaran kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-20719999 atau hadir ke balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan