DUNIA

China Rakan Strategik Pacu Pembangunan Mampan Dan Berdaya Tahan - TPM Fadillah

06/02/2026 10:21 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Malaysia melihat China bukan sahaja sebagai rakan ekonomi utama, malah sebagai rakan strategik dalam memacu pembangunan mampan dan berdaya tahan di rantau ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata Malaysia mengalu-alukan penglibatan lebih mendalam dengan China dalam pelaburan hijau, inovasi dan pemindahan teknologi yang menyokong tindakan iklim sambil mewujudkan peluang ekonomi bermakna kepada rakyat.

“Satu bidang kerjasama yang semakin berkembang ialah tenaga hijau dan ekonomi hijau.

“Memandangkan Malaysia dan China sama-sama mengejar pembangunan rendah karbon dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim, kerjasama dalam tenaga boleh baharu, mobiliti elektrik, kecekapan tenaga dan teknologi hijau telah menjadi tonggak utama hubungan dua hala kita,” katanya dalam ucapan pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Kedutaan China di Malaysia, di sini, pada Jumaat.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul serta Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Fadillah berkata China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, dengan hubungan ekonomi terus berkembang dari segi skala dan kualiti.

“Selain perdagangan tradisional, kerjasama kita kini semakin tertumpu kepada sektor berorientasikan masa depan dan bernilai tinggi yang akan membentuk pertumbuhan mampan pada tahun-tahun mendatang,” tambahnya.

Mengenai pelancongan, Timbalan Perdana Menteri berkata China sejak sekian lama merupakan antara pasaran pelancongan terpenting Malaysia dan negara ini amat menggalakkan pemulihan kukuh perjalanan serta pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.

“Ketika Malaysia membuat persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, kami dengan penuh mesra menjemput rakan-rakan dari China untuk sekali lagi untuk merasai pengalaman di Malaysia - kepelbagaian budaya, keindahan alam semula jadi, warisan yang kaya serta layanan mesra kami,” katanya.

Beliau berkata hubungan sesama insan, termasuk persahabatan antara komuniti, pelajar, usahawan dan generasi masa depan, menjadi asas paling kukuh dalam hubungan dua hala Malaysia-China.

Memetik peribahasa Cina terkenal “Tong Zhou Gong Ji”, yang bermaksud mereka yang belayar dalam perahu yang sama harus saling membantu menyeberangi sungai, Fadillah berkata kebijaksanaan itu mencerminkan semangat hubungan Malaysia-China.

Beliau menambah bahawa kerjasama antara kedua-dua negara dipandu bukan sahaja oleh kepentingan bersama, malah oleh rasa hormat, kepercayaan dan komitmen kolektif terhadap kemajuan.

Sementara itu, Fadillah berkata ketika Malaysia dan China bersama-sama meraikan Tahun Baharu Cina, kedua-dua negara diingatkan bahawa dalam persekitaran global yang semakin kompleks, perkongsian kukuh yang berteraskan dialog, keharmonian dan manfaat bersama adalah lebih penting berbanding sebelum ini.

“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan China dalam mempromosikan kestabilan serantau, pembangunan mampan dan kemakmuran bersama, selaras dengan prinsip kerjasama ASEAN dan multilateralisme,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan