EKONOMI

Asia Pasifik Muncul Sebagai Hab Utama Pembuatan Dipacu AI - Dassault Systèmes

06/02/2026 03:14 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

HOUSTON, 5 Feb (Bernama) -- Asia Pasifik termasuk Malaysia sedang pesat membangun sebagai salah satu rantau paling dinamik bagi pembuatan dan pendigitalan perindustrian yang dipacu kecerdasan buatan (AI).

Ia disokong oleh aktiviti keusahawanan yang kukuh, ekosistem perindustrian yang  berkembang, dan kerjasama yang lebih erat antara industri dan universiti.

Menurut Naib Presiden Eksekutif (Peranan Pengalaman Pelanggan) Dassault Systèmes Gian Paolo Bassi, pertumbuhan pesat rantau itu dalam sektor seperti semikonduktor, teknologi perubatan dan pembuatan termaju mempercepatkan penggunaan reka bentuk, simulasi dan teknologi AI termaju, sekali gus menjadikan Asia Pasifik sebagai peneraju utama strategi global syarikat. 

“Komitmen kami di sini sangat kukuh. Kami sedang melabur, mengupah dan mengembangkan ekosistem rakan kongsi kami,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada acara 3DExperience World 2026, di sini.

Acara selama empat hari bermula 1 Februari itu berjaya menarik kira-kira 4,000 peserta dari seluruh dunia, termasuk pereka, jurutera, usahawan dan pemimpin perniagaan. 

Bassi berkata saingan dalam fasa pertumbuhan perindustrian seterusnya akan semakin meningkat didorong oleh kreativiti, kepantasan dan inovasi, bukannya skala semata-mata. 

Sementara itu Naib Presiden (Asia Pasifik Selatan) Dassault Systèmes Sharon Toh berkata Malaysia secara khususnya, bakal menerima manfaat daripada perubahan ini apabila rantaian bekalan global dan pengeluar peralatan tulen utama (OEM) mendorong pengeluar tempatan untuk menerima pakai alat digital yang lebih canggih.

Pada masa sama, katanya, negara terus mengukuhkan kedudukannya dalam pembuatan semikonduktor dan berkaitan aeroangkasa. 

 

Perindustrian AI dan kemunculan kembar maya  

 

Berdasarkan momentum ini, beliau berkata Dassault Systèmes, iaitu gergasi perisian Perancis sedang meningkatkan tumpuannya pada AI perindustrian bagi membantu jurutera dan pengeluar reka bentuk, mensimulasikan dan mengoptimumkan produk serta sistem dunia sebenar, daripada sekadar menganalisis data dan menjana teks. 

Sharon berkata pendekatan itu berlandaskan teknologi kembar maya, yang melangkaui kembar digital konvensional dengan menggabungkan tingkah laku dunia sebenar, fizik dan pengesahan saintifik.

Ini sekali gus membolehkan syarikat mensimulasikan prestasi, penyelenggaraan dan kemampanan sebelum apa-apa dibina secara fizikal. 

Beliau turut menyatakan bahawa pengilang di Malaysia dan rantau yang lebih luas semakin didorong oleh OEM global untuk mempercepatkan transformasi digital mereka. 

“Bagi ASEAN, kami adalah sebahagian daripada rantaian bekalan global yang sangat kukuh. OEM besar sudah pun memacu transformasi digital, dan syarikat kami di rantau ini perlu menyesuaikan diri,” katanya. 

Beliau menambah tenaga kerja digital Malaysia yang agak muda memberikan kelebihan kepada negara itu dalam menerima pakai teknologi perindustrian yang didayakan oleh AI, terutamanya dalam kejuruteraan dan pembuatan. 

 

Daripada peralatan kepada transformasi

 

Bagaimanapun, Sharon mengingatkan bahawa transformasi digital bukanlah mengenai menerima pakai teknologi untuk kepentingannya sendiri, tetapi mengenai visi jangka panjang yang jelas dan melaksanakannya dalam peringkat yang boleh diukur. 

“Dassault Systèmes bekerjasama dengan syarikat besar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau ini menerusi metodologi transformasi berstruktur bagi memastikan pelaburan digital diterjemahkan kepada kesan operasi dan perniagaan sebenar,” katanya.

Di Malaysia, katanya, syarikat itu telah mempunyai kedudukan yang kukuh dalam kalangan firma kejuruteraan dan pembuatan, termasuk dalam sektor semikonduktor yang menggunakan perisian SOLIDWORKS.

Beliau turut menjangkakan potensi pertumbuhan selanjutnya apabila negara ini berusaha ke arah pembuatan bernilai tinggi dan penggunaan AI. 

 

Membina tenaga kerja masa depan

 

Dari segi bakat, Sharon berkata Dassault Systèmes sedang meluaskan kerjasamanya dengan universiti dan pemain industri di rantau ini, termasuk Malaysia bagi menyelaraskan pendidikan dan keperluan industri dengan lebih baik 

Beliau berkata inisiatif seperti penglibatan syarikat dengan institusi pengajian tinggi bertujuan memberi pelajar akses kepada perisian dan pensijilan gred industri sebelum mereka memasuki tenaga kerja, sekali gus membantu merapatkan jurang kemahiran. 

“Kami mahu pelajar menjalani latihan amali dengan lesen komersial dan perindustrian, supaya mereka boleh memperoleh pengalaman industri yang sebenar.

“Ini adalah mengenai membina tenaga kerja masa depan,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia sudah pun menjadi antara negara yang mengambil bahagian dalam usaha ini. 

 

Kemampanan dan prospek penerbangan

 

Sharon berkata Dassault Systèmes melihat teknologi kembar maya memainkan peranan yang semakin meningkat dalam kemampanan dan penerbangan, terutamanya dalam mengurangkan keperluan untuk prototaip fizikal yang mahal dan membolehkan penyelenggaraan ramalan menerusi simulasi lanjutan. 

Dalam aeroangkasa, kembar maya boleh digunakan untuk mensimulasikan senario penyelenggaraan, mengoptimumkan reka bentuk dan mengurangkan sisa bahan, sekali gus menyokong usaha industri ke arah operasi lebih mesra alam dan cekap.

“Daripada membina dan memusnahkan banyak prototaip, anda boleh mensimulasikan dan hanya melakukan ujian akhir pada produk fizikal. Itu sahaja telah membawa keuntungan kemampanan yang besar,” tambah Sharon. 

Dassault Systèmes telah bekerjasama dengan NAICO Malaysia dan Feiran Technology menerusi memorandum persefahaman yang dimeterai tahun lepas, melibatkan pembangunan Sistem Digital Aeroangkasa Malaysia serta penubuhan Makmal Visualisasi 3D di Pusat Kecemerlangan MyAERO.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan