AM

Sultan Selangor Rasmi Galeri Royal selangor 

05/02/2026 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan Galeri Royal Selangor yang terletak di Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS), di Jalan Raja, di sini.

Keberangkatan baginda pada 3 petang disambut oleh Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Pengarah Urusan Royal Selangor Datuk Yong Yoon Li.

Sementara itu, Yong dalam ucapan berkata galeri seluas 8,000 kaki persegi itu memaparkan perjalanan jenama Royal Selangor sejak 1850-an serta sejarah keluarga yang menyumbang kepada kemajuan Kuala Lumpur.

“Apabila pelawat mengunjungi galeri itu, mereka berpeluang menyaksikan pameran yang menghubungkan era penting yang mewarnai perkembangan bandar raya kita,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian galeri itu, di sini hari ini.

Beliau berkata, kafe di galeri itu menghadap padang yang penuh dengan sejarah, atau Dataran Merdeka, lokasi yang terkenal dengan peristiwa pada 1957 apabila bendera Union Jack diturunkan dan bendera Malaysia (kini Jalur Gemilang) dikibarkan. 

Yong berkata pameran itu umpama sebagai saksi kepada sejarah, mencerminkan pertembungan pengaruh Eropah dan Asia.

“Pengunjung berpeluang menyaksikan bagaimana status Royal Selangor sebagai pengilang piuter diraja, yang diperoleh pada 1979, mengukuhkan ikatan kepercayaan dan kecemerlangan bersama Allahyarham Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,” kata Yong.

Galeri itu turut menampilkan replika mercu tanda ikonik pembinaan negara, mengingatkan pengunjung bahawa Royal Selangor berkait rapat dengan evolusi ekonomi dan sosial Malaysia.

Galeri ini juga menampilkan kafe Royal Selangor, membolehkan pengunjung menikmati pemandangan sambil menyaksikan  pembuatan piuter yang mencerminkan warisan ekonomi, kreativiti dan semangat keusahawanan di Kuala Lumpur, yang berakar umbi daripada sejarah perlombongan timah di bandar raya ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan