SIBU, 5 Feb (Bernama) -- Polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tiga kanak-kanak lemas di sebuah kolam kumbahan di belakang flat perumahan Blok M, Sibu Jaya, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan luaran pada tubuh mangsa dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan.
Beliau berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan turut disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan diminta menghormati privasi keluarga mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Zulkipli turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
Dalam kejadian itu, dua beradik, iaitu Macx Devdynne Sharie Merdeka, 12, dan Macx Welwait Merdeka, 9, serta rakan mereka Daniella Arissa Tayas Maringgai, 10, dipercayai terjatuh ke dalam kolam kumbahan berkenaan yang dianggarkan sedalam kira-kira dua meter sebelum dibawa naik ke tebing oleh orang awam.
Sementara itu, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC) dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu berlaku di kawasan yang sedang dibangunkan dan pihak berkuasa berkaitan sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.
Menurut SRDC, pihak berkuasa tempatan itu akan memberikan kerjasama penuh kepada semua agensi berkaitan dan pihak berkepentingan yang terlibat.
"Pihak majlis komited untuk bekerjasama dengan semua pihak bertanggungjawab bagi meningkatkan kesedaran keselamatan awam dan mengukuhkan langkah pencegahan, terutamanya di kawasan yang berisiko," menurut kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan memastikan anak-anak mereka berada di bawah pengawasan rapi sepanjang masa, terutamanya ketika berada berhampiran tapak pembinaan, kawasan berair dan lokasi berbahaya.
"SRDC amat berdukacita dengan kejadian tragis ini dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mereka yang terkesan. SRDC memahami kebimbangan yang dirasai masyarakat dan menyeru orang ramai supaya menghormati keluarga mangsa sementara siasatan masih dijalankan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial