EKONOMI

​​​​5,624 Pengecas EV Awam Dipasang Setakat Ini, Pengecas DC Lepasi Sasaran - Johari

05/02/2026 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) – Sebanyak 5,624 unit pengecas EV awam telah dipasang di seluruh negara bersamaan 56 peratus daripada sasaran keseluruhan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,923 unit merupakan pengecas pantas arus terus (DC) manakala 3,701 unit ialah pengecas arus ulang alik (AC).

“Pemasangan pengecas DC melebihi sasaran awal sebanyak 128 peratus daripada sasaran 1,500 unit manakala pengecas jenis AC mencatatkan 40 peratus daripada sasaran 8,500 unit.

“Walaupun jumlah keseluruhan pengecas masih belum mencapai sasaran sebanyak 10,000 unit, pencapaian pengecas jenis DC yang melepasi sasaran mencerminkan keperluan untuk memberi fokus pada pemasangan kemudahan pengecas EV awam berbentuk pengecas pantas jenis DC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian di Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata perkara tersebut selari dengan maklum balas industri yang menunjukkan bahawa ketersediaan pengecas pantas merupakan faktor utama yang mempengaruhi keyakinan pengguna untuk beralih kepada kenderaan elektrik.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga menggalakkan pemilik kenderaan elektrik untuk memasang pengecas EV di kediaman masing-masing,” katanya, sambil menegaskan bahawa kos mengecas kenderaan EV di rumah adalah jauh lebih murah berbanding kos pengecas pantas jenis DC.

Beliau berkata pembangunan infrastruktur pengecas EV akan terus diperkukuh secara mampan meskipun berdepan cabaran kos pemasangan yang tinggi khususnya bagi pengecas DC yang dianggarkan berjumlah RM210,000.

“Proses pemasangan turut melibatkan pelbagai pihak berkuasa dan agensi teknikal seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Bhd.

“Keperluan penyelarasan teknikal, kelulusan tapak serta naik taraf kapasiti bekalan elektrik menyebabkan tempoh kelulusan mengambil masa yang lebih panjang, khususnya bagi lokasi strategik dan kawasan berkeperluan tinggi,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai jumlah stesen pengecas elektrik di Wilayah Utara, Johari berkata kemudahan pengecas EV telah dibangunkan di 21 lokasi utama melibatkan 45 unit pengecas EV jenis DC yang dikendalikan oleh pelbagai Pengendali Titik Pengecasan (CPO) seperti TNB Electron, Gentari, Shell Recharge dan JomCharge.

“Pemasangan pengecas ini mempunyai kapasiti antara 24 kilowatt (kW) hingga 240 kW. Selain itu, terdapat lebih 15 unit pengecas EV awam yang telah beroperasi bagi menampung keperluan pengguna setempat.

“Pada masa yang sama, permintaan pengecasan bagi kenderaan elektrik di laluan seperti Laluan Persekutuan Gerik–Jeli masih rendah dan bersifat bermusim.

“Justeru, pembangunan tambahan perlu mengambil kira faktor permintaan, kebolehlaksanaan dan kelestarian operasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan