EKONOMI

Penang Port Lancar Bot Tunda 50 Tan Dengan Teknologi Kuasa Darat

05/02/2026 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Penang Port Sdn Bhd telah memulakan operasi "PM Satu", sebuah bot tunda generasi akan datang seberat 50 tan yang direka untuk keperluan industri berprestasi tinggi sambil memelihara kelestarian alam sekitar.

Pelabuhan itu melalui satu kenyataan berkata bot tunda itu tiba di perairan Pulau Pinang pada 29 Jan 2026, dan memulakan operasi penuh pada 1 Feb 2026, menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan kelestarian PPSB.

Bot tunda itu dilengkapi dengan keupayaan kuasa darat, ini membolehkan ia menyambung terus ke bekalan kuasa di daratan dan menghapuskan keperluan untuk enjin tambahan berkuasa diesel semasa melahu, seterusnya, mengurangkan pencemaran dan penggunaan bahan api.

“Ketibaan PM Satu akan meningkatkan kapasiti tarikan tonggak armada kami kepada 50 tan, menandakan tambahan 11 peratus daripada standard kami sebelum ini iaitu 45 tan, (dan) ini mampu menangani keperluan trend global iaitu kapal-kapal kargo yang lebih besar.

"Dengan lonjakan kapasiti ini, kami sekarang dapat mengendalikan kapal kontena yang lebih besar, kapal pengangkut pukal dan kapal tangki dengan sokongan olah gerak serta keselamatan yang lebih baik," katanya.

Penang Port menambah peningkatan ini menghasilkan masa pusing balik yang lebih singkat, penjimatan ketara pada caj pelabuhan dan mengurangkan masa menunggu yang merugikan untuk pelanggan mereka.

Sementara itu, syarikat itu berkata PM Satu turut meluaskan jangkauannya melalui perkhidmatan kapal-ke-kapal untuk Andaman Port Sdn Bhd. 

Kerjasama ini melibatkan sokongan pemindahan minyak dan gas mereka, memacu kedudukan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pintu masuk yang boleh dipercayai untuk wilayah utara.

"Dengan bekerjasama, kami mampu menyumbang kepada pertumbuhan serantau termasuk menggalakkan operasi maritim yang lebih lancar untuk keseluruhan industri," katanya lagi.

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan