KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kumpulan Perbankan RHB sedang memperkukuh pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terangkum menerusi program RHB #JomBiz dengan menyokong lebih daripada 1,000 usahawan mikro di seluruh Malaysia.
Lebih 1,000 usahawan mikro berkenaan disokong dengan pelaburan melebihi RM1.5 juta sejak 2022.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Bank Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, program ini direka untuk menyediakan usahawan mikro dengan pengetahuan praktikal, instrumen kewangan dan keupayaan yang relevan dengan pasaran.
Selain itu katanya, program ini turut direka untuk menyokong pertumbuhan perniagaan mampan.
Bagi memberi gambaran yang jelas tentang impak program ini sejak dilancarkan dari 2022 hingga 2025, Mohd Rashid berkata tujuh kohort dilaksanakan dengan memperkasakan 1,073 usahawan mikro dan 137 daripadanya menerima pembiayaan dengan program ini mencapai kadar penyelesaian sebanyak 84 peratus.
“Kami juga memastikan peserta mendapat pendedahan pasaran sebenar iaitu sejak Mac 2023, 13 Bazar #JomBiz dianjurkan bagi membantu peserta membina jenama dan keyakinan pelanggan.
“Lebih membanggakan, hampir 40 peratus peserta terpilih menerima pengiktirafan The Star Outstanding Business Awards (SOBA) bagi kategori perniagaan mikro dan pada 2024, program ini turut diiktiraf oleh Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) di bawah kategori Pertumbuhan Ekonomi Inklusif,” katanya sewaktu ucapan aluan pada Majlis Anugerah RHB #JomBiz 2026 di sini hari ini.
Mohd Rashid berkata peranan RHB dalam #JomBiz bukan sekadar penyumbang dana tetapi juga sebagai rakan jangka panjang dengan membuka akses kepada latihan, bimbingan dan rangkaian sokongan serta memberi peluang kepada peserta untuk terus berkembang walaupun selepas program tamat.
Beliau berkata program ini merupakan sebahagian daripada strategi RHB yang dikenali sebagai PROGRESS27 yang komited untuk memperkasa 2.5 juta individu dan perniagaan di seluruh ASEAN menjelang 2027.
Jelasnya, setakat akhir 2025, RHB memperkasa hampir 1.5 juta individu daripada lebih 30,000 PKS dan mikro PKS melalui pelbagai program dan inisiatif.
Dalam perkembangan lain, Mohd Rashid berkata bank ini berhasrat untuk mengembangkan RHB #JomBiz di luar Lembah Klang dengan memberi tumpuan kepada Johor dan Sarawak bagi mencapai lebih ramai usahawan mikro dalam kalangan komuniti yang kurang diberi perhatian di seluruh negara pada tahun ini.
Beliau berkata program ini akan terus memberi keutamaan kepada komuniti B40 dan asnaf, ibu tunggal serta Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memperkukuh komitmen RHB terhadap penyertaan ekonomi yang terangkum.
"Usaha ini menyokong aspirasi lebih menyeluruh RHB untuk memperkasakan 2.5 juta individu dan perniagaan di seluruh ASEAN menjelang 2027," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial