JENAYAH & MAHKAMAH

Ahli Perniagaan Dipenjara Dua Tahun, Denda RM300,000 Simpan Kulit Harimau Belang Tanpa Permit

05/02/2026 03:03 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menyimpan satu bahagian kulit Harimau Belang (Panthera Tigris) tanpa permit khas, empat tahun lepas.

Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh menjatuhkan hukuman itu ke atas Datuk Seri Ng Sing Huat, 51, selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan di atas pertuduhan. Tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun bermula hari ini dan didenda RM300,000, jika gagal membayar denda dipenjara 12 bulan," kata Mohd Zaki.

Bagaimanapun, hakim itu membenarkan permohonan peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Ng untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dengan jumlah jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Zaki berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa mangsa di dalam kes ini adalah 'bisu' iaitu yang tiada tubuh badan cuma kulit.

"Sebagai seorang manusia, kita semua harus ada kasih sayang, simpati dan empati kepada haiwan yang kita bela. Contohnya anjing dan kucing, kita sayang, kita empati dan kita simpati. 

"Jadi perkara sama harus dipraktikkan kepada haiwan liar. Tidak ada bezanya," katanya yang berharap agar keputusan hari ini bukan sahaja memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi mesej kepada pihak luar agar tidak melakukan kesalahan sama.

Hakim itu berkata kes berkenaan telah dibicarakan dari awal hingga akhir dan tidak ada pengakuan salah daripada tertuduh sebelum perbicaraan, ataupun semasa perbicaraan, jadi hukuman sewajarnya harus dikenakan kepada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Ng didakwa menyimpan satu bahagian kulit Harimau Belang (Panthera Tigris) iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas di sebuah premis kediaman di Jalan Tun Razak di sini pada 12.45 tengah hari, 1 Ogos 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 68(2)(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Amanina Mohamad Anuar berkata tindakan menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran adalah kesalahan serius apatah lagi melibatkan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan merupakan spesis terancam.

"Untuk makluman mahkamah, Harimau Belang adalah spesis hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya iaitu spesies yang tidak boleh diimport dan dieksport tanpa permit. Merujuk kepada status populasi Harimau Malaya menerusi pelaksanaan Malaysia's first National Tiger Survey 2016-2020 mendapati, anggaran kehilangan Harimau Malaya antara 100 ke 150 ekor dan dijangka Malaysia akan kehilangan spesis harimau ini dalam tempoh lima hingga 10 tahun sekiranya tindakan drastik tidak diambil.

"Perbuatan ini jika tidak dibendung akan menyebabkan bukan sahaja Harimau Belang, malah mana-mana hidupan lain yang pupus jika tidak dipelihara sewajarnya. Oleh itu, pendakwaan mohon agar hukuman berat dan setimpal dengan kesalahan hendaklah diberikan kepada tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam," katanya.

Hasshahari pula memohon mahkamah mengenakan hukuman denda paling minimum dan penjara sehari terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh menanggung keluarga termasuk isteri dan tiga anak serta ibu bapa yang sudah berusia.

"Anak guam saya juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Kesalahan yang dilakukan melibatkan haiwan bukan melibatkan nyawa atau tubuh badan manusia. Ia adalah berkaitan kesalahan menyimpan satu bahagian kulit harimau dan bukan satu kes jenayah yang menyebabkan kecederaan atau berkaitan dengan manusia," katanya.

Sebanyak tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh telah memberi keterangan pada perbicaraan bermula April tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan