JENAYAH & MAHKAMAH

Seorang Maut, Tujuh Cedera Dalam Kemalangan Di Lebuh Raya Utara-Selatan

05/02/2026 10:27 AM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki maut manakala tujuh individu cedera termasuk seorang kanak-kanak perempuan dalam nahas membabitkan sebuah bas ekspres, lori dan treler di Kilometer 433 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Rawang, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata mangsa yang maut adalah pemandu lori bonded yang tersepit di dalam kenderaan itu.

“Lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lima penumpang bas cedera terdiri daripada empat lelaki dengan seorang daripadanya parah serta seorang kanak-kanak perempuan, kesemuanya dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB). 

Turut cedera ialah seorang lelaki berusia 39 tahun yang merupakan kelindan lori bonded serta pemandu  treler dengan kedua-duanya turut dibawa ke hospital sama.

Secara keseluruhan, Ahmad Mukhlis berkata sebanyak 31 individu terlibat dalam insiden itu terdiri daripada 16 lelaki, lima perempuan dan tujuh kanak-kanak daripada bas ekspres jenis Scania; dua lelaki (lori bonded) serta seorang lelaki daripada treler.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.12 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dan Rawang tiba di lokasi kejadian pada 5.21 pagi.

Operasi menyelamat melibatkan 16 anggota bomba dengan bantuan jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Emergency Response Motorcycle (ERMS) dari BBP Bukit Sentosa serta Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Rawang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan