TELUK INTAN, 4 Feb (Bernama) -- Dua lelaki warga Indonesia masing-masing dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan secara bersama menipu seorang warga emas berjumlah RM15,000 pada Januari lepas.
Majistret Naidatul Athirah Azman menjatuhkan hukuman itu ke atas Rasyid Arshad, 52, dan Mustari, 55, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.
Kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama menipu lelaki warga emas berusia 77 tahun itu dengan memperdaya mangsa kononnya tertuduh telah memenangi loteri dan ingin menuntut wang kemenangan tersebut menggunakan kad pengenalan mangsa.
Tertuduh kemudian meminta mangsa menyerahkan wang RM15,000 dan berjanji akan memulangkan semula wang itu berserta ganjaran RM10,000 selepas wang hadiah kemenangan loteri tersebut diperoleh tertuduh, namun kedua-dua tertuduh menghilangkan diri selepas menerima wang RM15,000 itu.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah pasar raya serbaneka di Lorong Agenda 1, Medaniaga Lagenda Hutan Melintang dalam daerah Bagan Datuk pada 11 pagi, 19 Jan lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, dan sebat serta hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Magistret Naidatul Athirah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara lima bulan selepas mereka mengaku bersalah masuk ke negara ini tanpa dokumen sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 (Akta 55).
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Faustina Francis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial